Sunday, November 20, 2005

Text Khutbah Idilfitri 1426H

Teks Khutbah Aidilfitri 1426H di Kg Seri Kemunting

Dengan Ihsan Dictation Usrah Al Ansar International, Kuala Besut

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Marilah bersama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Tuhan Yang Maha Agung Lagi Maha Pengampun. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW, semoga dengan berselawat kepada baginda akan merezkikan kita dengan syafaat baginda di akhirat nanti buat perisai menangkis bakaran api neraka.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kini berlalulah Ramadhan dan terbitlah fajar Syawal. Takbir di laungkan sebagai tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di madrasah Ramadhan. Berbahagialah dan bersyukurlah wahai para muslimin, bagi mereka yang telah berjaya mendapat ijazah kemenangan di madrasah Ramadhan tahun ini. Kerana kejayaan di madrasah Ramadhan bermakna semakin hampirnya diri kita kepada Allah di masa akan datang, sehinggalah kita bertemu kembali dengan Ramadhan di tahun hadapan bagi kita terus-terusan menghampirkan diri kepada Allah Rabbul Jalil.

Dalam suasana kita menyambut ketibaan Idilfitri dengan penuh kegembiraan ini, janganlah kita lupa untuk terus mengekalkan ketaqwaan kita kepada Allah. Ketaqwaan yang telah kita pupuk dan pertingkatkan di madrasah Ramadhan nan lalu. Janganlah pula, setelah Ramadhan berlalu, kita muntahkan segala amal taqwa kita dengan melupakan usaha dan pengorbanan yang telah kita lakukan di madrasah Ramadhan dengan peri laku kemaksiatan dan kemungkaran. Istiqamahkanlah sifat taqwa tersebut dan teruskan bermujahadah untuk menjadi seorang muslim yang mukmin lagi muttaqin. Muttaqin dalam erti kata yang hakiki dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Syukurilah kepada Allah Rabbul Jalil di atas pertolonganNya kepada kita sehingga kita mampu melaksanakan pelbagai ibadah sunat yang lain yang mungkin tidak terlaksana sekiranya Ramadhan tidak menjelma. Di bulan Ramadhan lah kita mengkhatamkan Al-Quran, bersolat Terawih, mengeluarkan zakat fitrah dan sebagainya, tidak dibulan yang lain. Dan yang paling utama, kita bersyukur kepada Allah s.w.t atas kemanisan beribadah di bulan Ramadhan. Dan yakinilah bahwa janji Allah kepada hamba-hambaNya adalah pasti. Malanglah kepada mereka yang tidak merebut peluang keemasan ini, untuk bermujahadah menerima tarbiah di Madrasah Ramadhan dan beroleh ijazah sebagai graduan Ramadhan Al Mubarak.

Yaa Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami dengan bulan Ramadhan

Kehadiran Ramadhan menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari siksa neraka. Inilah keistimewaan Ramadhan yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Kedatangannya sepatutnya ditunggu dengan penuh rasa syukur dan gembira. Pemergiannya sepatutnya ditangisi dengan penuh rasa duka. Tangisan dan kedukaan kerana dimanakah kan kita cari bulan yang didalamnya penuh rahmat dan ampunan? Dimanakah kan kita cari bulan yang dirantai syaitan-syaitan dan dikekang segala nafsu ?

Hakikatnya, kegembiraan menyambut Syawal hanyalah layak bagi mereka yang telah berjaya dan lulus dalam menjalani tarbiah di madrasah Ramadhan. Apakah kita merupakan salah seorang graduan yang telah lulus dari Madrasah Ramadhan tahun ini ? Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengingatkan diri kita, bahawa perginya Ramadhan sepatutnya ditangisi dan bukan disenangi.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari teman seperjuangan yang dikasihi sekelian,

Kedatangan Ramadhan merupakan suatu kenangan buat setiap pejuang kebenaran. Kerana Ramadhan mengimbas kepayahan dan pengorbanan dalam bermujahadah. Mujahadah melawan hawa nafsu. Mujahadah melawan bujukan syaitan. Mujahadah memerangi kafir harbi yang sentiasa mengajak manusia ke jalan cara hidup mereka. Mujahadah menentang para munafiq yang menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran. Mujahadah menyeru kepada si fasiq untuk tunduk mentaati titah perintah Allah.

Ingatlah, bahawa jalan mujahadah ini bukanlah suatu jalan yang menjanjikan kesenangan dan kemewahan. Tetapi jalan mujahadah ini menjanjikan 1001 macam kesusahan dan penderitaan. Kerana setiap pejuang bererti kita bersedia menempah kesusahan dan penderitaan. Menanggung derita menongkah fitnah. Itulah gelombang hidup samudera duka seorang mujahid memburu syahid.

Ikhlaskanlah hati kita dalam perjuangan ini. Sama ada mujahadah berdepan dengan musuh yang zahir mahupun tika berdepan dengan musuh yang batin. Kerana keikhlasan dalam bermujahadah oleh para pejuang telah dinukil oleh Allah s.w.t dalam surah As-Syuara ayat 109:

Ertinya: Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Inilah ucapan para mujahid yang mukhlis. Keikhlasan mereka diabadikan oleh Allah dalam Al Quran sebagai tanda kecintaanNYA kepada hamba-hamba Nya yang bermujahadah. Mereka berjuang di jalan Allah dengan ikhlas dan berhikmah tanpa mengenal jemu dan putus asa. Kerana istilah jemu dan putus asa tiada di dalam kamus seorang pejuang. Mereka berjuang tanpa mengharap sebarang imbuhan di dunia sama ada dalam bentuk sanjungan dan pujian, sebaliknya hanya mengharap dan menggapai kasih sayang Allah, buat menyuci dosa dan noda yang pernah dan sering terpalit di hati mereka. Agar kembalinya mereka ke pangkuan Allah kelak, bersama-sama hati yang tenang dalam keredhaan dan kasih sayang Allah.

Berkat perjuangan Baginda Rasulullah SAW, para sahabat radhiallahuanhuma dan para salafus soleh rahimahumullahu taala, maka kita bangsa Melayu di Kuala Besut ini dan Nusantara Kepulauan Melayu, mampu mengecapi nikmat yang paling agung dan manis. Iaitu nikmat Iman dan Islam. Maka syukurilah nikmat yang agung ini sambil kita memanjatkan selawat kepada baginda Rasulullah SAW. Kerana berkat perjuangan baginda SAW dan para mujahid baginda, maka kita bangsa Melayu yang sawo matang dan berhidung peset ini menikmati Iman dan Islam sebagai Ad Din.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari, para mujahid dan mujahidah yang sedang memburu syahid,

Kita tidak mampu memberi ganjaran yang setimpal kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh para pejuang yang terdahulu. Hanyalah Allah s.w.t sahaja yang mampu memberikan ganjaran yang setimpal malah yang lebih, di atas penderitaan dan pengorbananan yang pernah mereka lalui demi melihat syiar Islam diagungkan di muka bumi. Akan tetapi, saudara-saudari sekelian, bagaimana pula kita sekarang ini? Apakah sumbangan kita terhadap kesinambungan perjuangan yang telah dirintis oleh mereka? Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 140:Ertinya:

Itulah umat yang telah berlalu sejarahnya. Untuk mereka apa yang mereka telah mereka usahakan dan untuk kamu apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan ditanya apa yang mereka kerjakan.

Inilah peringatan Allah buat kita agar kita akan menyelusuri jejak-jejak mereka dalam mencari salah satu antara dua pencapaian, iaitu kemenangan atau syahid.

Wahai generasi muda perjuangan ini, sedarlah. Bahawa masa depan perjuangan ini berada dipundak tanggung jawab mu. Contohilah para pejuang yang terdahulu dalam berkorban dan menderita. Merintis jalan perjuangan yang penuh onak dan ranjau kerana di hadapannya syurga yang manis. Didik dan serulah umat mu untuk mencapai kasih sayang dan keampunan Allah. Agar kita dan mereka diiktiraf sebagai hamba-hamba Nya yang dikasihi lagi diredhai. Jadikanlah amalan perjuangan ini sebagai amal jariah buat ibu dan ayah mu yang telah berada di sisi Allah Rabbul Izzati. Persetankanlah manusia-manusia fasiq dan para munafiq yang menyeru mu ke jalan kesesatan. Seandainya si munafiq dan si fasiq masih berdegil dan terus berpaling untuk mentaati Allah dan masih menyeru umat manusia ke jalan kesesatan dan lalai mentaati Allah, sesungguhnya Allah Maha Agung dan akan tetap agung. Seandainya para mujahid yang terdahulu mampu menyebarkan iman dan Islam di bumi Melayu ini, NAH ! Tanyailah diri kita. Apakah sumbangan kita untuk perjuangan ini ? Berapa banyakkah darah kita yang telah tumpah dan mengalir buat mengagungkan Islam ? Oleh itu, bangunlah dari tidur mu yang lena. Bangkitlah dan bunyikanlah semboyan jihad. Agar Allah diesakan. Agar Rasulullah SAW dijadikan ikutan. Agar Al Quran dijadikan rujukan. Agar syurga menjadi tempat rehat buat kita di akhirat. Seandainya bukan kamu generasi muda yang menyambung perjuangan ini, siapa lagi?

Wahai generasi tua, sedarlah, usia mu yang semakin lanjut menghampirkan diri mu di ambang pusara. Andainya kamu masih leka, awaslah, sesungguhnya siksaan Allah itu amat pedih. Gunakanlah sisa usia mu yang masih ada untuk mentaati Allah dan bukan memandu generasi muda ke arah kemungkaran dan maksiat. Kerana kelak dirimu akan terjerumus ke jurang neraka. Jangan dihina dan dinodai perjuangan para mujahid yang lalu dalam menyeru ke arah keimanan di tanah air kita. Jangan diruntuhkan benteng syariat yang dibina oleh para pejuang terdahulu dengan hiburan maksiat dan mungkar di hujung usia mu. Kerana kelak nanti dosa-dosa yang dilakukan manusia yang menyahut seruan maksiat mu menjadi saham dosa buat mu di akhirat. Masih tidak terlambat untuk mu berpaling dari kemaksiatan dan bersimpuh mengadap kebenaran. Masih belum terlambat untuk kau jadikan diri mu teladan yang baik buat generasi muda yang bakal mendatang. Melainkan, diri mu memang tidak direzkikan Allah dengan iman dan Islam. Sebagaimana diri Abu Talib Bin Abdul Mutalib tidak direzkikan dengan iman dan Islam. Maka bersedialah untuk menjadi bahan bakaran api neraka.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari yang dikasihi sekelian,Bertolong bantulah dalam menyeru ke arah yang makruf dan mencegah yang mungkar. Jangan dirosaki amal kebajikan dan benteng iman yang telah dibina oleh para pejuang yang terdahulu. Jangan kita berpaling dari cahaya keimanan dan berlari menuju kegelapan zulumat jahiliah setelah orang yang terdahulu menempuh penderitaan membawakan nikmat iman dan Islam buat kita. Jangan sesekali kita mengkhianati perjuangan orang yang terdahulu dengan mengagung-agungkan maksiat dan kemungkaran.

Saudara-saudari teman seperjuangan sekelian.

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk melahirkan lebih ramai para pejuang. Agar lidah perjuangan Rasulullah SAW akan terus bersambung. Agar bumi Allah ini akan dimekarkan dengan keindahan syariat Allah. Agar hablumminAllah dan hablumminannas tertegak. Agar umat manusia mampu bernaung dibawah payung keselamatan dan keindahan Islam.Jangan kita bertolong bantu dalam menjadi agen merosakkan generasi yang akan datang dengan serangan hiburan tanpa batasan dan pergaulan social promosi lacuran.

Buat para pejuang, persiapkanlah diri dengan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Pastikan ilmu itu di fahami, dihayati, diyakini, diamalkan dan diperjuangkan. Agar obor cahaya ilmu menerangi kegelapan jahiliah yang melanda masyarakat. Pertahankanlah identity agar tidak luput di telan gelombang arus kemungkaran. Hancur dan binasakanlah kubu-kubu maksiat dan mungkar. Lantas, binalah asas kekuatan iman dan taqwa di atas keruntuhan tersebut.Bersungguh-sungguhlah merubah keadaan masyarakat Islam agar kita terus mendapat kasih sayang Allah, insya Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra'ad ayat 11:Ertinya:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Mengawali sebuah perjuangan itu memang berat. Menjalaninya lebih berat. Tetapi menjaga kesinambungan sebuah perjuangan itu jauh lebih berat. Padahal, perjuangan itu tidak dinilai diawalnya, tapi diakhirnya.

Mendidik jiwa dan diri ini sebagai sang pejuang memang mudah. Tetapi, dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pejuang, semestinya ada ujiannya, kerana tapisan demi tapisan dilakukan sendiri oleh Yang Maha Kuasa, bagi-Nya memilih mereka yang benar-benar ikhlas berjuang dijalannya. Terkadang timbul perasaan lemah, letih, tidak bersemangat dan sebagainya.

Saudara-saudari seperjuangan sekelian.

Berdirinya saya di atas mimbar ini, tidak menjanjikan sebarang kesenangan dan kemewahan duniawi. Tidak juga menjanjikan kehidupan dan keindahan duniawi. Tapi apa yang saya janjikan hanya satu. Hanya menyampaikan janji yang diukir oleh Sang Pencipta, Allah Rabbul Alamin dalam firman Nya :

“ Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” (As-Shaff:10-12)

Kunci kepada sebuah perjuangan adalah niat yang ikhlas kerana Allah SWT, syaratnya pula adalah bersungguh-sungguh dalam berjuang serta tidak berputus asa dan akhirnya adalah menjaga kesinambungan serta penerusannya.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari yang dikasihi sekelianAkhir kata. Tangisilah pemergian Ramadhan kerana keistimewaan Ramadhan yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Teruskanlah perjuangan di Ramadhan yang lalu sehingga kita bertemu kembali di Ramadhan yang akan datang dengan izin Allah. Jangan dirosakkan amalan kita di Ramadhan yang lalu dengan dosa dan kemungkaran menyambut Syawal cara didikan manusia fasiq. Kekalkanlah sifat taqwa semoga kita mendapat tempat yang mulia di sisi Allah S.W.T.

Baarakallah.....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home