Pertempuran Kedua : TAUBAT
PERTEMPURAN TAUBAT
Muqaddimah
Makna Taubat
Hukum & Syarat Taubat
Cara Menyucikan Dosa/Bertaubat
Ciri-ciri Kesempurnaan Taubat
Mari Mengenal Dosa
Pembahagian Dosa
Punca-punca Dosa
Penutup
1.0 Muqaddimah
Firman Allah SWT, Surah Al Imran 135 – 136 :
Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau yang menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosanya, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah ? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal didalamnya dan itulah tempat yang sebaik-baiknya (balasan) orang-orang yang beramal.
Taubat. Suatu istilah yang pendek, yang senang disebut, tetapi sering di salah ertikan tuntutannya. Tuntutan taubat juga sangat berat untuk dipenuhi oleh orang yang merindui dosa dan kemungkaran. Sebaliknya, tuntutan taubat merupakan suatu kemanisan buat seseorang yang merindui untuk berdamping dengan kekasihnya yang sejati lagi hakiki iaitu Allah Rabbul Izzati.
Kadang-kadang kita yang jahil ini sering terfikir. Kenapa kita perlu bertaubat ? Tidak lain dan tidak bukan ialah agar :
1.1 Kita dapat merasai keringanan dan kemanisan dalam beribadah. Agar hati kita sentiasa tenang. Kerana kejadian kita yang dicipta Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya, adalah bersesuaian dengan fitrah kejadian kita yang benci menjadi hamba kepada selain Allah. ( Sila rujuk text Pertempuran yang lalu ). Kerana setalah merasa kemanisan dan keringanan dalam beribadah, maka kita telah pun menerima taufik, bagi melaksanakan hidayah yang telah kita kecapi.
1.2 Agar ibadah kita di terima oleh Allah SWT. Ibadah yang kita lakukan, sedang kita bergelumang dengan dosa dan maksiat, belum tentu dinilai oleh Allah SWT. Ibaratkan seorang rakyat yang kotor tubuh badan disaluti selut lumpur, pergi mengadap Raja untuk menerima hadiah. Apakah Raja akan gembira dengan rakyatnya yang pengotor datang mengadap untuk menerima hadiah ? Begitu juga halnya dengan diri kita. Seandainya diri kita dikotori oleh dosa dan kemungkaran, apakah mudah untuk Allah menerima ibadah kita ? Melainkan kita membersihkan diri kita dengan taubat.
.
2.0 Pengertian Taubat
Bersabda Rasulullah SAW :
Penyesalan itu taubat (Riwayat Ibnu Majah, Ibn Hibban & Hakim)
Apakah taubat ? Taubat ialah proses kita menyucikan diri kita dari kekotoran dosa yang telah dilakukan. Pengertian taubat itu terbina di atas tiga factor.
2.1 Ilmu : Tanpa ilmu, seseorang tidak dapat membezakan antara yang haq dan yang bathil. Tanpa ilmu seseorang tidak akan tahu rukun dan syarat dalam beribadah. Tanpa ilmu juga, tidak akan wujud kesedaran, kerana tiada cahaya penyuluh ke arah jalan kebenaran.
2.2 Penyesalan : Lahir dari rasa kesedaran. Setelah seseorang dilengkapi dengan ilmu, maka mudahlah dia menyuluh perjalanan hidupnya didunia. Dapatlah dia membezakan antara yang haq dan yang bathil. Tahulah seseorang, antara amalan yang dianugerahi pahala dan amalan yang mengundang dosa. Disinilah hidayah mula berputik dan mengetuk pintu hati seseorang untuk sedar akan keterlanjuran diri yang berbuat dosa. Kesedaran untuk kembali kepada Allah sebagai seorang hamba Allah dan bukan menjadi hamba kepada selain Allah. Apakah hidayah ? Hidayah ialah apabila kita menerima kesedaran akan sesuatu perbuatan, perkataan atau lintasan hati yang membolehkan kita membezakan antara yang haq dan yang bathil.
2.3 Kesengajaan untuk meninggalkan kesalahan dan maksiat yang telah dilakukan. Meninggalkan perbuatan maksiat tanpa ada paksaan. Sebaliknya dengan hati yang tulus ikhlas. Di sini factor taufiq memain peranan. Setelah pintu hati diketuk oleh kesedaran, maka taufiq memainkan peranan untuyk mendorong seseorang meninggalkan perbuatan keji tersebut dan mengamalkan suruhan Allah SWT. Apakah taufik ? Taufik ialah daya dorong untuk kita melaksanakan sesuatu perkara yang makruf dan meninggalkan perkara yang mungkar.
Apabila tidak wujud ketiga-tiga factor ini, maka tidak hairan orang yang melakukan sesuatu perkara dalam keadaan jahil. Disangka mereka dengan mengucap istighfar sudah memadai dan memenuhi tuntutan taubat. Amalan yang bukan amalan taubat atau HANYA sebahagian dari amalan taubat didakwa oleh mereka sebagai sudah bertaubat. Contohnya : lafaz istighfar. Ianya salah satu dari amalan taubat, tetapi orang yang melafazkannya belum tentu bertaubat. Ramai sudah kita ketemu, seseorang mengatakan dia sedar akan kesalahan mereka, dan mereka mengucapkan lafaz istighfar. Sesudah itu mereka lakukan semula dosa kemungkaran yang sama.
Begitu halnya dengan agama-agama yang lain. Kristian, untuk bertaubat, mereka ke gereja, bertemu dengan pendeta mereka dan mengaku kesalahan mereka seterusnya membuat pembayaran di atas dosa yang telah mereka lakukan. Apakah kita perlu berbuat demikian sedangkan Allah Maha Agung dan Maha Berkuasa untuk menerima taubat kita ?
Sebab itu , ilmu, kesedaran(menyesal) dan kesengajaan meninggalkan maksiat menjadi asas terbinanya pengertian taubat. Sedar bahawa dosa itu amat buruk dan terkutuk. Sedar bahawa dosa akan dibalas dengan siksa Allah di akhirat. Sedar bahwa di dunia lagi diri makhluk adalah lemah, apatah lagi jika di akhirat. Jadi dengan ketiga-tiga factor inilah akan memudahkan kita untuk bertaubat.
3.0 Hukum dan Syarat Taubat
Hukum taubat adalah FARDHU AIN. Hukum taubat adalah wajib. Seseorang yang telah melakukan dosa WAJIB baginya bertaubat. Rasulullah SAW yang maksum (terpelihara dari dosa) pun bertaubat. Apa lagi orang awam macam kita yang sememangnya tidak dijamin syurga, memang sewajarlah dan wajiblah bertaubat.
Al Aghor Bin Yassar Al Muzani ra. Berkata : Rasulullah SAW bersabda : Hai sekelian umat manusia. Bertaubatlah kamu kepada Allah, dan istighfarlah (minta ampun) kepada Nya, maka sesungguhnya setiap hari bertaubat seratus kali. (Riwayat Muslim)
Syarat taubat bergantung kepada dosa yang telah dilakukan. Dosa yang dilakukan ada dua jenis. Pertama dosa dengan Allah. Kedua, dosa sesama manusia. Seperti dinyatakan, taubat adalah penyucian diri dari dosa yang telah dilakukan. Dosa terbahagi dua iaitu :
3.1 Dosa kepada Allah : kerana meninggalkan/mengabaikan apa yang diperintah Allah serta melakukan apa yang dilarang Allah.
3.2 Dosa sesama makhluk : ada 4 jenis dosa yang melibatkan makhluk. Ke-empat-empat jenis dosa tersebut ialah :
3.2.1 Dosa yang ada hubungan dengan diri seseorang (contoh : kita pukul dia)
3.2.2 Dosa yang ada kaitan dengan harta seseorang (contoh : kita mencuri duitnya)
3.2.3 Dosa yang ada kaitan dengan keluarganya (contohnya : kita menuduh isteri seseorang yang suci sebagai penzina)
3.2.4 Dosa yang ada kaitan dengan agama seseorang (contohnya : kita mengajar ajaran sesat yang menyalahi aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah kepada orang)
4.0 Cara menyucikan dosa / Bertaubat
4.1 Dosa dengan Allah : ada tiga syarat yang perlu ditempuh iaitu :
4.1.1 Menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan
4.1.2 Tinggalkan perbuatan yang mengundang dosa
4.1.3 Berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
4.2 Dosa sesama makhluk :
4.2.1 Menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan
4.2.2 Tinggalkan perbuatan yang mengundang dosa
4.2.3 Berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
4.2.4 Memohon maaf dan kifarah kepada orang yang dilakukan dosa
Taubat yang diterima Allah ialah taubat yang dilakukan dengan penuh keinsafan, ikhlas dan sungguh-sungguh. Marilah kita renungi firman Allah SWT , Surah Az Zumar : 53
Katakanlah : Hai hamba-hamba Ku (yang mengerjakan sesuatu yang) melampaui batas, terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya DIA lah yang mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIA lah yang Maha Pengampun , lagi Maha Penyayang.
5.0 Ciri-ciri Kesempurnaan Taubat
Apakah tanda taubat yang dilakukan diterima Allah SWT ? Taubat yang diterima Allah ialah taubat yang sempurna. Tanpa kesempurnaan ini, maka cacatlah amalan taubat tersebut. Dari Kitab Al Mauizatul Mukminin disebutkan, taubat disempurnakan apabila terdapat di dalamnya 8 ciri :
5.1 Menyesali terhadap dosa yang lalu
5.2 Menunaikan segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan
5.3 Mengembalikan hak milik kepada yang empunya
5.4 Meminta dihalalkan dari yang dicuri
5.5 Berniat untuk tidak mengulangi kesalahan
5.6 Mendidik diri agar terlatih membuat kebaikan sebagaimana diri pernah terlatih membuat kemaksiatan.
5.7 Memberikan rasa kepada diri mu dan kepahitan beramal kebaikan, sebagaimana dirimu pernah merasai kemanisan berbuat kemaksiatan.
5.8 Memperbaiki apa-apa yang dimakan dan diminum
6.0 Mari Mengenal Dosa
Apabila kita membicarakan perihal taubat, maka kita tidak lepas lari dari membicarakan dosa. Apakah dosa ? Dosa ialah sesuatu yang mengundang murka Allah SWT.
7.0 Pembahagian Dosa
Dalam Kitab Al Mauizatul Mukminin juga ada disebut 7 jenis kategori dosa :
7.1 Terletak di dalam hati
Menyekutukan Allah dengan sesuatu
Terus-terusan mengekalkan maksiat
Putus asa dari rahmat Allah SWT
Merasa aman dari siksaan dan azab Allah SWT
7.2 Terletak pada lidah
Penyaksian dusta dan bathil (saksi bohong)
Menuduh orang yang suci melakukan zina
Melakukan perbuatan sihir
Sumpah palsu. Iaitu sumpah yang membenarkan sesuatu yang bathil dan menafikan sesuatu yang haq.
7.3 Terletak pada perut
Meminum minuman keras
Memakan harta anak yatim secara penganiayaan
Memakan riba
7.4 Terletak pada kemaluan
Berzina
Liwat
Hubungan sesama sejenis
7.5 Terletak pada dua tangan
Membunuh jiwa tanpa kebenaran menurut syariat Islam
Mencuri, merompak dan yang sewaktu dengannya
7.6 Terletak pada dua kaki
Melarikan diri dari medan peperangan menentang kafir harbi dan munafik
7.7 Terletak pada seluruh tubuh badan iaitu menderhaka kepada kedua orang tua.
8.0 Punca-punca Dosa
Al Imam Ghazali rahimahumullahutaala meyimpulkan bahawa timbulnya segala dosa berpunca dari :
8.1 Seseorang memiliki sifat ketuhanan : Sifat yang layak dimiliki hanya oleh Allah, digunapakai oleh makhluk. Antara sifat-sifat tersebut ialah takabbur, suka dipuji, suka disanjung, suka disyukuri. Tidak layaklah seorang makhluk memiliki sifat-sifat tersebut. Seandainya ada di kalangan makhluk bersifat sebegitu, maka saling tak tumpah dengan perilaku Firaun laknatullah. Dari sifat-sifat ketuhanan yang digunapakai oleh makhluk inilah lahirnya sifat ujub, riya’ dan seumpamanya. Arwah datuk ku pernah berpesan :
“Seandainya hamba , berlagak hamba. Tuannya (Boss) akan sayang kepadanya. Tetapi jika Tuan berlagak hamba (tawadduk dan rendah diri), Allah akan sayang kepadanya. Apabila Allah sayang kepadanya, maka tidak ada apa lagi yang harus digusarkan. Kerana segala-galanya dibawah naungan dan lindungan Allah SWT”
8.2 Seseorang memiliki sifat kesyaitanan : Sifat yang lahir dari watak-watak syaitan seperti hasad dengki, pembelot, khianat, mengajak manusia ke arak kemungkaran dan kefasikan. Menzahirkan Islam sambil menyembunyikan kekufuran.
8.3 Seseorang memiliki sifat-sifat bahimiah ( kebinatangan) : Iaitu tamak, menindas, menuruti nafsu syahwat.
8.4 Seseorang memiliki sifat subu’iah (kebuasan) : berlakulah peri laku keganasan, pemarah dan sebagainya.
Dari keempat-empat sifat inilah lahir pelbagai pokok mungkar dan maksiat yang bercabang-cabang dan menghasilkan buah dosa. Seandainya kita tidak sedar dari kekufuran maksiat ini, serta mencantas akar umbi pokok kemungkaran ini, maka pokok mungkar ini akan terus subur dan membuahkan semakin banyak dosa. Tanpa rasa kehambaan, maka sukarlah untuk kita menerima kebenaran yang datang dari Allah dan Rasul Nya.
1 Comments:
Terima kash atas tunjuk ajar yg anda tlh berkn..Assalamualaikum..
Post a Comment
<< Home