Muqaddimah Ilmu Tauhid Part 2
........SAMBUNGAN........
Dalam ilmu Tauhid, apabila kita membicarakan tentang hukum-hukum dalam ilmu Tauhid, selain dari membahaskan tentang hukum akal, kita tidak lepas lari dari membahaskan tentang hukum adat.
Apa itu adat ? Adat ialah kebiasaan. Hukum adat juga mempunyai 3 bahagian, iaitu wajib, mustahil dan mumkin. Sesetengah orang jadi keliru antara hukum adat dan hukum akal yang telah kita bahaskan terdahulu.
Apa itu hukum adat ? Hukum adat atau hukum kebiasaan, ialah suatu penetapan atau suatu keputusan yang dibuat berdasarkan hasil yang biasa dialami/diperolehi pada sesuatu kejadian atau perbuatan. Contohnya :
Cth 1 : Bila makan ianya mengenyangkan. Keputusan ialah kenyang terhasil dari perbuatan makan.
Cth 2 : Pisau yang tajam memotong sayur yang lembut. Pisau ada benda atau zat, tajam ialah sifat (ini termasuk dalam hukum akal). Pisau tajam memotong sayur yang lembut. Hasil dari perbuatan memotong sayur yang lembut terpotong. (ini hukum adat)
Cth 3 : Api wajib panas. Kita menghukumkan pada adat api wajib panas sebab pada pengalaman kita , kerana tiap kali kita rasa api, ia merasa panas. Tetapi ianya pada kebiasaan, api sememangnya panas. Adat api sememangnya panas. TETAPI ianya hanya pada kebiasaan dan adat sahaja. SEBAB, akal dapat menghukumkan bahawa api itu mumkiin boleh dirasa tidak panas, sebagaimana Allah kehendaki api tidak menjadi panas dan tidak membakar Nabi Ibrahim AS.
Cth 4 : Manusia wajib ada oksigen untuk bernafas. Ini wajib pada adat, ada oksigen untuk manusia bernafas dan hidup. TETAPI ada juga kisah yang mencarik adat, Nabi Yunus AS, ditelan ke dalam perut ikan Nun, baginda hidup dalam perut ikan Nun dan dalam air laut tanpa oksigen. Sebagaimana diceritakan didalam Surah Al Anbiya' ayat 86 - 88. Kisah ini mencarik adat, secara langsung membuktikan bahawa ianya MUMKIN pada akal, kerana kekuasaan Allah Taa'la. Sebagai Al Khaliq Yang Maha Pencipta, Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang mencarik adat. Oleh itu, akal yang waras yang sedar bahawa Allah bersifat dengan KUDRAT dan IRADAT, boleh menerima perkara yang mencarik adat. TETAPI ianya mestilah dibuktikan dengan DALIL dan kajian yang teliti.
Apa itu mustahil pada adat ? Mustahil pada adat ialah sesuatu perkara yang menyalahi adat. Contohnya :
Cth 1 : Manusia mustahil boleh hidup lama ratusan tahun tanpa makan dan minum. Dalam kehidupan biasa, mustahil manusia boleh hidup lama. TETAPI kalau menurut hukum akal pula, mumkin manusia hidup lama tanpa makan dan minum. Seperti kisah Ashabul Kahfi yang hidup selama 309 tahun tanpa makan dan minum. Ianya mustahil pada adat tapi tidak mustahil pada akal ( mumkin pada akal ).
Cth 2 : Manusia mustahil boleh mendengar suara manusia lain dari jarak yang amat jauh. Dalam kehidupan biasa, mustahil kita mampu mendengar percakapan orang lain dari jarak yang jauh tanpa menggunakan peralatan komunikasi. TETAPI kalau menurut hukum akal, harus manusia boleh berhubung antara satu sama lain tanpa menggunakan peralatan komunikasi, sebagaimana Saidina Umar Al Khattab yang berada di Madinah mampu berhubung dengan Sariah dan tenteranya di Parsi (Iran) dan melihat tentera musuh sedang mara ke tempat tentera Islam. Lantas Saidina Umar Al Khattab mengarahkan Sariah dan tenteranya agar segera menaiki gunung dibelakang mereka untuk terselamat dari kepungan musuh.
Apa itu mumkin pada adat ? Mumkin pada adat ialah perkara atau kejadian yang boleh berlaku atau boleh untuk tidak berlaku pada kebiasaan pengalaman kita. CONTOHNYA :
Cth 1 : Langit gelap, boleh jadi akan hujan. Boleh jadi juga tidak akan hujan. Hujan boleh, tak hujan pun boleh.
Cth 2 : Seorang sakit yang masuk ke ICU, boleh jadi akan meninggal dunia. Boleh jadi juga tidak akan meninggal dunia. Salah-satu keadaan boleh berlaku. Hukum adat, adalah hukum yang lumrah terjadi. Namun apabila kita mengambil kira, hukum akal, maka adakalanya hukum adat boleh terbatal. Tak semestinya wajib pada adat, akan menyamai wajib pada akal. Begitu juga. Tak semestinya mustahil pada adat, akan menyamai mustahil pada akal. TETAPI tiap-tiap hukum yang mumkin pada adat, ialah juga hukumnya mumkin pada akal. Lain perkataan, mumkin pada adat adalah sama dengan mumkin pada akal.
Ringkasan
a. Wajib pada adat boleh jadi sama dengan wajib pada akal
b. Wajib pada adat tak semestinya sama dengan wajib pada akal.
c. Mustahil pada adat boleh jadi sama dengan wajib pada akal
d. Mustahil pada adat tak semestinya sama dengan mustahil pada akal
e. Mumkin pada adat boleh jadi sama dengan mumkin pada akal.
f. TETAPI ada juga hukum mumkin pada akal tetapi tidak mumkin pada adat.
Dan perlu diingat, segala hukum WAJIB, MUSTAHIL dan MUMKIN pada adat, kesemuanya adalah MUMKIN pada sisi Allah Taala.
Contohnya : Cth 1 : Seseorang MUSTAHIL pada adat boleh seorang manusia boleh berjalan di atas air tanpa sebarang peralatan, bahkan WAJIB pada adat dia tenggelam. TETAPI hal ini, WAJIB pada adat sahaja, kerana ia MUMKIN pada akal. Sebab Allah Ta’ala berkuasa menjadikan orang itu timbul dan berjalan di atas air tanpa alat-alat tertentu.
Cth 2 : Seseorang MUSTAHIL pada adat boleh hidup 300 tahun tanpa makan dan minum, bahkan WAJIB pada adat dia mati. TETAPI hal ini hanya WAJIB dan MUSTAHIL pada adat, sedangkan pada akal ia MUMKIN. Allah berkuasa menjadikan manusia dan alam ini, maka tidak sukar bagi Allah SWT mengubah adat.
Dalam menghasilkan sesuatu hukum, seseorang perlu dan mesti berpandu kepada DALIL. Sumber kepada dalil-dalil untuk menghasilkan hukum ialah :
a. Al Quran
b. Hadis Nabi Muhammad SAW
c. Akal
Oleh itu, marilah kita renung sejenak. Sejauh mana kita memahami, meyakini dan mengamalkan rukun iman yang enam perkara. Seandainya kita masih lagi pada peringkat "TAHU" tetapi tidak lagi faham, lebih-lebih lagi tidak yakin, maka tidak hairanlah kita masih lagi bergelumang dengan dosa dan kemungkaran.
Bagaimana kita ingin tahu bahawa kita telah yakin dengan ilmu Tauhid yang kita pelajari ? Mudah saja. Kalau kita bersedia mengajarkannya dan menyampaikan kepada saudara-saudara seIslam serta kepada orang yang masih jauh dari Islam untuk mentauhidkan Allah SWT, itulah antara tanda bahawa kita sudah yakin dengan ilmu Tauhid yang kita pelajari.
Insya Allah, kita akan sambung pengajian kita di masa akan datang.
Wallahu a'lam
1 Comments:
secara tidak langsung hukum akal sendiri adalah kategori - kategori yang terkumpul berdasarkan hipotesa dari pengalaman - pengalaman adat. Penetapan wajib bahwa seorang anak tidak boleh lebih tua daripada ayahnya adalah pernyataan yang membenarkan hal tersebut. Pada dasarnya kalau semua rumusan dikembalikan pada hak mutlak ALLAH, maka segala sesuatu adalah mumkin, termasuk jika ada anak lebih tua daripada ayahnya. Penetapan anak harus tidak lebih tua daripada ayahnya adalah pernyataan akal yang diperoleh lewat pranala - pranala adat, dan itupun hanya wajib pada akal tidak menjadi wajib pada kekuasaan ALLAH yang mutlak dan absolut. Yang memusingkan bagaimana menjadikan akal sebagai sebuah alat dalam memahami tuhan dengan kategori - kategori seperti itu ?Apakah kedudukan akal sama mutlak dengan objek yang akan ditemukan yaitu ALLAH ? Lantas bagaimana mendefinisikan akal, tempatnya, keberadaanya, dan bagaimana berfikir tentang akal itu sendiri ? Atau jangan - jangan itu semua juga hanya sebuah konklusi yang diciptakan oleh para ulama kalam yang juga relative kebenaranya menurut akal........
Post a Comment
<< Home