Wednesday, November 30, 2005

Korban & Aqiqah di Kemboja

"Saya ingin merakamkan rasa syukur dan berterimakasih kepada umat Islam di Malaysia yang mengambil berat hal ehwal umat Islam di Kemboja. Semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa dan menerima Korban dan Aqiqah para peserta semua" : Sohibus Samahah Okhna (Datuk) Haji Kamaruddin Yusof Mufti kemboja

Maksud Firman Allah SWT "Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan berkorbanlah"
Al-Kauthar : 2

Maksud Hadis Rasullullah SAW "Barang siapa yang dikurniai seorang anak, lalu ia menyukai untuk membaktikannya (mengaqiqahinya), maka hendaklah ia melakukannya"

Kelebihan Program Ini

Maklumat Terkini
•Memudahkan peserta menunaikan tuntutan agama.
•Harga yang murah, pakej RM195 untuk satu bahagian lembu bagi ibadah korban dan RM230 untuk satu bahagian lembu bagi ibadah aqiqah telahpun mengambilkira harga lembu, pembiayaan jamuan aqiqah serta kos dan ganjaran pengurusan
•Jamuan aqiqah diadakan bersempena kenduri kahwin bagi pasangan miskin, program masjid atau program kemasyarakatan umat Islam di Kemboja
• Sijil penyertaan yang disahkan oleh Mufti Kemboja
• Korban dan aqiqah dilaksanakan di tempat yang ramai umat Islam miskin.

Program Korban Eidul Adha dan Aqiqah di Kemboja 1415H - 1425H
Tahun VS Bil. Korban & Aqiqah
1415H VS 17
1416H VS 150
1417H VS 288
1418H VS 263
1419H VS 451
1420H VS 561
1421H VS 736
1422H VS 685
1423H VS 886
1424H VS 1178
1425H VS 1177

JUMLAH PENDUDUK
Malaysia 21 juta VS Kemboja 13 juta

KEMATIAN BAYI
Malaysia 12 VS Kemboja 110

HAYAT HIDUP
Malaysia 72 tahun VS Kemboja 53 tahun

PURATA PENDAPATAN SETAHUN Malaysia
USD 4287 VS Kemboja USD 27

Sila layari : >>>>>> http://www.korbanaqiqah.com.my

Sunday, November 27, 2005

The Seven Battle : Pertempuran Ilmu

Sabda Rasulullah SAW :

"Barangsiapa yang Allah kehendaki ia akan kebaikan, maka Allah berikan dia faham di dalam agamanya" Riwayah Bukhari & Muslim

Pertempuran pertama yang perlu ditempohi dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim ialah pertempuran untuk mendapatkan ilmu Islam. Tanpa ilmu, ibarat seseorang itu berjalan di dalam kegelapan. Tidak nampak jalan yang hendak dituju. Dan tidak tahu matlamat arah tujuan. Orang yang dipimpin Allah yang telah direzkikan Allah untuk menjadi hamba-hamba Nya, akan diberikan Allah perasaan mencintai ilmu. Lantas dirinya juga amat mudah faham akan ilmu yang pelajari.

Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)

Ilmu merupakan perkara asas, atas setiap amal perbuatan. Untuk menjadi seorang yang mentaati Allah memerlukan ilmu. Untuk menjadi seorang menderhakai Allah juga perlukan ilmu. Inilah kepentingan ilmu. Dan ilmu yang dituntut untuk kita pelajari, fahami, yakini, amalkan dan perjuangkan ialah ilmu Fardhu Ain.Tanpa ilmu, ibadah yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat dihayati dan dilakukan secara semborono. Tanpa ilmu, maka cacatlah ibadah. Justeru itu, cacatlah juga hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Maka terhinalah kita seperti diisyaratkan Allah dalam surah Al Imran ayat 112 :

"Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah). "

Dalam pertempuran untuk menimba Ilmu, seseorang itu perlu menguasai tiga senjata bagi menjamin kemenangan dalam pertempuran untuk menimba ilmu. Seandainya ketiga-tiga senjata tersebut dapat dikuasai, pertempuran pertama ini pasti dapat dimenangi. Ketiga-tiga senjata itu ialah :

1. Ilmu Tauhid
2. Ilmu Fekah
3. Ilmu Tasauf

A. Ilmu Tauhid

Ilmu yang paling pertama dan utama dalam agama adalah ilmu tauhid. Tauhid ertinya mengesakan Tuhan serta mengiktiqadkan dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan alam ini beserta dengan bukti-bukti yang jelas. Jadi ilmu Tauhid ialah ilmu untuk mengenal Allah dengan sifat-sifat Nya yang wajib, mustahil dan harus. Begiru juga ilmu Tauhid ilmu yang mengenalkan kita dengan Rasul dan Nabi melalui sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan harus. Ilmu Tauhid juga merupakan ilmu yang membahaskan rukun-rukun iman yang enam, yang menjadi keyakinan seluruh umat Islam. Antara kepentingan ilmu Tauhid ialah :

a. Memperbetulkan keyakinan terhadap Zat Pencipta.
b. Menjauhkan sebarang keyakinan selain dari Allah SWT
c. Menjauhkan sebarang penyembahan selain dari Allah SWT
d. Memberi panduan bagaimana untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Setiap orang wajib mempelajari ilmu tahuhid dan aqidah agar mengetahui Tuhan yang dia sembah, mengetahui nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya, mengetahui tentang hukum-hukum kauniyah-Nya (ketentuan-Nya tehadap alam) dan hukum-hukum syari'ah-Nya, mengetahui kebijakan-Nya dan rahasia syari'ah dan ciptaan-Nya, sehingga dia tidak tersesat dan menyesatkan orang lain.

Ilmu ini membicarakan secara mendalam akan persoalan rukun iman yang enam. Iaitu :

1. Beriman Kepada Allah Dengan Iman, kita membulatkan keyakinan dan menundukkan diri serta hati kita hanya kepada-Nya.Secara positifnya kita menuju Tauhid yang semurni-murninya dan secara negatif kita menolak segala bentuk pemujaan kepada selain Allah s.w.t.

Beriman Kepada Malaikat-Malaikat Dengan Iman kita mempercayai bahawa adanya makhluk ghaib yang bernama Malaikat yang menjalankan tugasnya mengikut perintah Allah.Secara positif kita percaya kepada alam ghaib yang ditegaskan oleh Allah dan secara negatif kita menolak segala bentuk ghaib yang tidak dinyatakan Allah

Beriman Kepada Rasul-Rasul Dengan beriman kepada Rasul-Rasul, kita mempercayai adanya pesuruh-pesuruh Allah di muka bumi ini untuk dijadikan petunjuk dan teladan.

Beriman Kepada Kitab-Kitab Dengan beriman kepada kitab-kitab suci, kita mempercayai adanya kitab-kitab Allah yang memimpin manusia, yang di akhiri oleh Kitab Al-Quran

Beriman Kepada Hari Kiamat Dengan Iman, kita mempercayai bahawa di sebalik kehidupan di dunia yang fana ini masih ada lagi kehidupan yang abadi dan berkekalan iaitu suatu tempat penentuan kedudukan manusia sama ada di syurga atau neraka.

Beriman Kepada Qada' dan Qadar Dengan beriman kepada qada’ dan qadar, kita mempercayai bahawa di samping kita berusaha dan merancang akan kehidupan di dunia ini, Allah telah menentukan segala sesuatu itu dan terletak di dalam kekuasaan-Nya.

Ilmu Tauhid yang dituntut untuk dipelajari adalah sekadar untuk mengesahkan iktiqad seseorang Muslim. Oleh itu seorang muslim dituntut untuk mengenal Allah dan Rasul-Nya. Untuk mengenal Allah yang mempunyai adalah melalui sifat Nya, nama Nya dan penciptaan Nya. Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan Maha Suci Allah dari segala sifat kecelaan. Maka wajiblah seseorang muslim mempelajari, memahami, meyakini dan mengamalkan sekurang-kurangnya 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah beserta hujjah/dalil naqli dan hujjah/dalil aqli walaupun secara ijmali. Begitu juga seorang muslim dituntut untuk mempelajari 4 sifat yang wajib bagi Rasul & Nabi, 4 sifat yang mustahil bagi Rasul dan Nabi, serta satu sifat yang harus bagi Rasul & Nabi beserta hujjah/dalil naqli dan hujjah/dalil aqli walaupun secara ijmali. Kesemua sifat-sifat yang disebut tadi wajiblah dipelajari, difahami, diyakini beserta dalil-dalilnya walaupun secara ijmal (ringkas). Kesemua sifat-sifat yang disebut tadi merupakan senjata-senjata ampuh buat setiap pejuang yang ingin bertempur di medan perjuangan menimba ilmu.

Barangsiapa yang tidak mempelajari ilmu Tauhid, atau mengenal Allah dan Rasul secara tafsili ( detail ) atau ijmali ( ringkas), iqtiqadnya tidak sah dan amalannya tertolak.
B. Ilmu Feqah ialah ilmu untuk seseorang Muslim mengenal hukum-hukum syarak berhubung dengan amalan dan perbuatan Mukallaf yang diambil dari sumber-sumber Al Quran dan Hadis secara terperinci serta sumber dari ijmak ulamak dan ijtihad.

Melalui Ilmu Feqah maka kita tahu dalam amal perbuatan, perkataan yang mana satukah tergolong dalam salah satu dari lima hukum yang kita perjelaskan di bahagian muqaddimah yang lalu iaitu hukum wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Melalui Ilmu Feqah juga kita dapat tahu dan kenal akan sah sesuatu amalan. Iaitu sama ada sesuatu amalan atau ibadah itu dilakukan dengan cukup rukun dan syaratnya seperti diperjelaskan oleh Allah di dalam Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Seandainya tidak cukup syarat dan rukun, maka amalan tersebut adalah batal.

Apa itu syarat ? Syarat ialah sesuatu hal yang terletak di luar ibadah (muamalah), tetapi wajib dipenuhi. Contohnya : Syarat wajib sembahyang ialah : Islam, Baligh, berakal (Mukallaf).

Apa itu rukun ? Rukun ialah sesuatu perkara yang wajib dipenuhi dan terletak di dalam Ibadah (Muamalah). Contohnya : Rukun sembahyang adalah niat.

Sekurang-kurang Ilmu Feqah yang wajib setiap muslim pelajari ialah sekadar Fardhu Ain. Iaitu mengetahui syarat dan rukun untuk menentukan sah dan batalnya sesuatu ibadah terutama yang melibatkan persoalan rukun Islam iaitu sembahyang, puasa, zakat, menunaikan haji serta melaksanakan tuntutan kalimah syahadah.

Ilmu feqah terbahagi pula kepada 4 juzuk ilmu yang lain iaitu :

1. Ibadah
2. Muamalah
3. Munakahah
4. Jenayah

Ibadah : memperjelaskan sah atau batalnya sesuatu amal ibadah kepada Allah SWT. Ianya melibatkan penyaluran ilmu dan kefahaman terhadap rukun dan syarat-syarat yang perlu ditempohi untuk mengesahkan amalan tersebut seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Dimulai dengan menyalurkan ilmu Taharah (bersuci) , Solat, Zakat, Puasa dan Haji serta sub-juzuk sub-juzuk yang terkandung dalam setiap tajuk.

Muamalah : ianya memperjelaskan akan hal ehwal yang bersangkut-paut dengan jual beli, urusniaga, transaksi dan ekonomi. Di dalamnya juga terkandung syarat dan rukun yang wajib dipatuhi oleh setiap muslim.

Munakahah : memperjelaskan hal ehwal kekeluargaan. Ia bersangkut-paut dalam menjalin hubungan sesama manusia dalam erti kata kekeluargaan. Bermula dari niat untuk berkehendak kepada pasangan hidup sehinggalah mengedarkan harta wasiat setelah seseorang Muslim kembali bertemu Allah SWT. Juga tidak terlepas untuk kita membicarakan tentang rukun dan syarat sah tatkala kita membahaskan ilmu ini.

Jenayah : memperjelaskan undang-undang hidup manusia di dunia apabila batas kemanusiaan dan kemasyarakatn dinodai. Di dalamnya juga terkandung rukun dan syarat untuk mengesahkan atau terbatalnya sesuatu perkara.

C. Ilmu Tasawuf ialah senjata ketiga yang diperlukan oleh seseorang Muslim untuk mempastikan kemenangan dalam pertempuran untuk menuntut ilmu. Tasawuf bermakna menyucikan. Ianya adalah bertujuan agar seseorang Muslim tahu, kenal dan dapat membezakan antara sifat mahmudah dan sifat mazmumah. Ia juga bertujuan agar seseorang muslim itu tahu bagaimana menyingkirkan sifat mazmumah dari dalam diri mereka serta menunjukkan jalan bagaimana ingin mendapatkan sifat mahmudah. Setiap muslim diwajibkan mempelajari dan memahami sekurang-kurangnya 10 sifat mahmudah dan sekurang-kurangnya 10 sifat mazmumah. Agar mereka dapat berusaha menjauhi dari memiliki sifat mazmumah yang terkeji. Serta mereka berusaha untuk mendapatkan sifat mahmudah yang terpuji.

Setelah ketiga-tiga senjata yang ampuh ini (Ilmu Tauhid, Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf) ini dimiliki dan berjaya difahami, diyakini dan diamalkan seterusnya diperjuangkan dalam kehidupan sehari-hari, maka secara tidak langsung telah berjayalah seseorang muslim itu menempah kemenangannya yang pertama dalam salah satu dari tujuh pertempuran.

InsyaAllah, kita akan berusaha untuk memperkemaskan lagi ketiga-tiga cabang ilmu ini. Agar kita dapat memperjelaskan satu persatu apa yang terkandung di dalam ketiga-tiga cabang ilmu ini dalam satu lagi program yang akan menyusul tidak lama lagi iaitu slot program Fardhu Ain.

Friday, November 25, 2005

The Seven Battle : Muqaddimah

Alhamdulillah, mari kita panjatkan syukur ke hadrat Allah. Semoga dengan mengucapkan syukur ke hadrat Allah, Allah akan tambahkan nikmat yang ada pada kita dengan nikmat-nikmat yang lain. Dan nikmat yang terbesar Allah kurniakan kepada kita ialah nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. semoga dengan mengucapkan selawat ke atas baginda, akan menambahkan rasa kecintaan kita kepada baginda.

Alhamdulillah dengan kudrat Allah dan keizinan Allah, maka terhasilnya tazkirah bersiri berdasarkan buku yang berjudul The Seven Battle .Buku The Seven Battle disusun berdasarkan syarah dari kitab Al Qatru Ghaisiyyah oleh almarhum datuk aku, Allahyarham Haji Ehsan Haji Harun. Ianya mengupas kepada peringkat-peringkat yang perlu dilalui oleh seorang muslim dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang sebenar iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah Allah yang mukmin lagi muttaqin. Seandainya ada manfaat ilmu dari buku yang ditulis ini, serta ada manfaat ilmu dari tazkirah bersiri ini, semoga ianya menjadi amal jariah buat Allahyarham datuk ku, ibu ku,ayah ku dan juga guru ku.

Dinamakan The Seven Battle yang bermaksud tujuh pertempuran. Pertempuran kerana dinisbahkan kepada kesukaran, kepayahan dan penderitaan yang terpaksa ditempuh untuk mencapai matlamat yang hakiki. Ia merupakan suatu proses yang dilalui oleh seorang muslim dalam permusafirannya di dunia menuju ke negara akhirat yang kekal abadi. Apabila kita membicarakan persoalan pertempuran, maka kita tidak akan lepas lari dalam memperkatakan tentang jihad. Dan setiap yang mebabitkan jihad, pastinya menuntut pengorbanan. Dan pengorbanan yang dilakukan di jalan Allah, pastinya akan menghampirkan diri kepada Allah SWT.

The Seven Battle juga dinisbahkan kepada tujuh pertempuran, kerana itulah tujuh peringkat yang dinyatakan di dalam kitab Qatru Ghaisiyah untuk setiap muslim bagi menghampirkan diri kepada Allah. Dinisbahkan dengan pertempuran, kerana setiap peringkat tersebut bukanlah sesuatu yang boleh diperolehi tanpa usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan Allah demi menghampirkan diri kepada Nya sebagai seorang hamba Nya. Dan sebagai khalifah Nya untuk mentadbir duni ini dengan hukum-hakam Nya.

Firman Allah dalam Surah Adz Dzariyat : 56

Tidak Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku.

Mengabdikan diri kepada Allah SWT merupakan matlamat Allah jadikan manusia di dunia. Hujjah dan dalil manusia menjadi hamba Allah kuat. Bukan setakat ayat ke 56 dari Surah Adz Dzariyat menegaskannya, tapi dalil akal dan fitrah pun bersetuju bahawa memang wajar manusia menjadi hamba Allah.

Seandainya ada yang melabelkan kita sebagai "hamba Allah” . Secara langsung hati nurani dan akal kita merasa senang dan bahagia apabila kita dilabelkan dengan gelaran hamba Allah. Tetapi, seandainya ada yang datang kepada kita dan melabelkan kita sebagai "hamba Syaitan","hamba Nafsu", "hamba manusia", "hamba dunia"Secara langsung hati nurani dan akal kita merasa marah dan benci. Fitrah kita tidak boleh menerima kita menjadi hamba selain kepada Allah SWT. Inilah bukti dan dalil, bukan sahaja Allah menegaskan didalam surah Adz Dzariyat ayat ke 56, malah akal dan fitrah kejadian manusia itu sendiri tidak boleh menerima untuk menjadi hamba kepada yang lain kecuali Allah.

Ibadah mencakup seluruh aspek kehidupan manusia sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Itulah yang kita amalkan dalam hidup kita sehari-hari asalkan tidak bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah. Bagi memperjelaskan uslub atau kaedah bagaimana ingin menjadikan setiap aspek kita menjadi ibadah, maka konsep ibadah ini dapat diuraikan kepada tiga juzuk yang mencakup seluruh aspek kehidupan manusia, yaitu :

A. Ibadah asas ( yang mencakup persoalan rukun iman dan rukun Islam yang kedudukan hukumnya Fardhu Ain)
B. Ibadah yang menjadi cabang kepada ibadah yang asas ( amalan fardhu kifayah dan amalan sunat)
C. Ibadah umum. ( segala perbuatan, perkataan, amalan seharian manusia dalam kategori mubah atau harus seperti makan, berjalan, tidur etc. Seandainya bersesuaian dengan 5 syarat, maka perkara yng harus itu beroleh pahala dan menjadi ibadah. 5 syarat tersebut ialah :

1. Niat yang benar ( hanya kerana Allah)
2. Pelaksanaannya benar, (tidak melanggar syariat Allah)
3. Perkara kegiatan tersebut dibenarkan oleh syariat dan mendapat keredhaan ALLAH
4. Natijah (Hasil) mesti baik dan tidak menzalimi diri dan makhluk Allah.
5. Tidak meninggalkan atau melalaikan ibadah-ibadah asas.

Manusia juga dicipta Allah untuk menjadi khalifah Nya di muka bumi. Bersesuaian dengan firman Allah SWT , Surah AL Baqarah ayat ke 30

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya

Menjadi khalifah untuk mentadbir alam ini dengan hukum-hakam Allah dengan peraturan yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang layak menentukan peraturan bagi setiap ciptaan NYA. Ibarat sebuah televisyen jenama SONY, adalah mustahil manual pengguna dari jenama SAMSUNG digunapakai oleh pengguna untuk mengoperasikan peralatan tersebut. Begitu jugalah dunia dan alam ini, ianya ciptaan Allah, maka Allah sahajalah yang selayak menentukan peraturan yang wajib dipatuhi oleh makhluk ciptaan NYA. Hukum-hakam Allah inilah dipanggil syariat. Hukum syariat ada lima iaitu :

1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri tempoh 5 syarat ibadah , beroleh pahala. Lima syarat tersebut yang kita sebutkan di atas tadi.

Secara ringkasnya, peringkat-peringkat yang perlu kita tempohi atau pertempuran-pertempuran yang perlu kita hadapi adalah seperti berikut :

1. Pertempuran di medan Ilmu – untuk mendapatkan ilmu
2. Pertempuran di medan Taubat – untuk menyucikan diri dari dosa
3. Pertempuran di medan ‘Awa’iq (Penghalang Ibadah) – mengahalang sama sekali untuk kita beribadah
4. Pertempuran di medan A’warid (Pemesong Ibadah) – secara halus melalaikan kita untuk beribadah
5. Pertempuran di medan Bawai’th ( Pendorong Ibadah) – menyeimbangkan rasa khauf (takut) dan rasa raja’ (harap)
6. Pertempuran di medan Qawadih (Perosak Ibadah) – mengatasi rasa riya’ dan ujub
7. Pertempuran di medan Hamdi Wa Syukri (Pujian dan kesyukuran) – mentajallikan (menzahirkan) kepujian dan kesyukuran kepada Allah

Oleh itu marilah kita renung sejenak, mudah-mudahan ilmu yang bakal dihidangkan nanti dapat memandu kita untuk merenung ke dalam diri kita dan menghisab diri kita. Sejauh mana kita telah melaksanakan tuntutan titah perintah Allah serta meninggalkan larangan Nya.

InsyaAllah di hari dan waktu yang sama minggu hadapan, akan kita kupas dengan lebih lanjut kesemua pertempuran yang bakal kita hadapi dan tentera musuh yang bakal kita tentang satu persatu. Semoga ianya dapat kita jadikan panduan untuk menjadi hamba Allah dan khalifah Allah.

Kita tangguhkan majlis kita dengan membaca tasbih kifarah dan membaca surah Al Asr.

Sunday, November 20, 2005

Text Khutbah Idilfitri 1426H

Teks Khutbah Aidilfitri 1426H di Kg Seri Kemunting

Dengan Ihsan Dictation Usrah Al Ansar International, Kuala Besut

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Marilah bersama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Tuhan Yang Maha Agung Lagi Maha Pengampun. Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW, semoga dengan berselawat kepada baginda akan merezkikan kita dengan syafaat baginda di akhirat nanti buat perisai menangkis bakaran api neraka.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kini berlalulah Ramadhan dan terbitlah fajar Syawal. Takbir di laungkan sebagai tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di madrasah Ramadhan. Berbahagialah dan bersyukurlah wahai para muslimin, bagi mereka yang telah berjaya mendapat ijazah kemenangan di madrasah Ramadhan tahun ini. Kerana kejayaan di madrasah Ramadhan bermakna semakin hampirnya diri kita kepada Allah di masa akan datang, sehinggalah kita bertemu kembali dengan Ramadhan di tahun hadapan bagi kita terus-terusan menghampirkan diri kepada Allah Rabbul Jalil.

Dalam suasana kita menyambut ketibaan Idilfitri dengan penuh kegembiraan ini, janganlah kita lupa untuk terus mengekalkan ketaqwaan kita kepada Allah. Ketaqwaan yang telah kita pupuk dan pertingkatkan di madrasah Ramadhan nan lalu. Janganlah pula, setelah Ramadhan berlalu, kita muntahkan segala amal taqwa kita dengan melupakan usaha dan pengorbanan yang telah kita lakukan di madrasah Ramadhan dengan peri laku kemaksiatan dan kemungkaran. Istiqamahkanlah sifat taqwa tersebut dan teruskan bermujahadah untuk menjadi seorang muslim yang mukmin lagi muttaqin. Muttaqin dalam erti kata yang hakiki dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Syukurilah kepada Allah Rabbul Jalil di atas pertolonganNya kepada kita sehingga kita mampu melaksanakan pelbagai ibadah sunat yang lain yang mungkin tidak terlaksana sekiranya Ramadhan tidak menjelma. Di bulan Ramadhan lah kita mengkhatamkan Al-Quran, bersolat Terawih, mengeluarkan zakat fitrah dan sebagainya, tidak dibulan yang lain. Dan yang paling utama, kita bersyukur kepada Allah s.w.t atas kemanisan beribadah di bulan Ramadhan. Dan yakinilah bahwa janji Allah kepada hamba-hambaNya adalah pasti. Malanglah kepada mereka yang tidak merebut peluang keemasan ini, untuk bermujahadah menerima tarbiah di Madrasah Ramadhan dan beroleh ijazah sebagai graduan Ramadhan Al Mubarak.

Yaa Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami dengan bulan Ramadhan

Kehadiran Ramadhan menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari siksa neraka. Inilah keistimewaan Ramadhan yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Kedatangannya sepatutnya ditunggu dengan penuh rasa syukur dan gembira. Pemergiannya sepatutnya ditangisi dengan penuh rasa duka. Tangisan dan kedukaan kerana dimanakah kan kita cari bulan yang didalamnya penuh rahmat dan ampunan? Dimanakah kan kita cari bulan yang dirantai syaitan-syaitan dan dikekang segala nafsu ?

Hakikatnya, kegembiraan menyambut Syawal hanyalah layak bagi mereka yang telah berjaya dan lulus dalam menjalani tarbiah di madrasah Ramadhan. Apakah kita merupakan salah seorang graduan yang telah lulus dari Madrasah Ramadhan tahun ini ? Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengingatkan diri kita, bahawa perginya Ramadhan sepatutnya ditangisi dan bukan disenangi.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari teman seperjuangan yang dikasihi sekelian,

Kedatangan Ramadhan merupakan suatu kenangan buat setiap pejuang kebenaran. Kerana Ramadhan mengimbas kepayahan dan pengorbanan dalam bermujahadah. Mujahadah melawan hawa nafsu. Mujahadah melawan bujukan syaitan. Mujahadah memerangi kafir harbi yang sentiasa mengajak manusia ke jalan cara hidup mereka. Mujahadah menentang para munafiq yang menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran. Mujahadah menyeru kepada si fasiq untuk tunduk mentaati titah perintah Allah.

Ingatlah, bahawa jalan mujahadah ini bukanlah suatu jalan yang menjanjikan kesenangan dan kemewahan. Tetapi jalan mujahadah ini menjanjikan 1001 macam kesusahan dan penderitaan. Kerana setiap pejuang bererti kita bersedia menempah kesusahan dan penderitaan. Menanggung derita menongkah fitnah. Itulah gelombang hidup samudera duka seorang mujahid memburu syahid.

Ikhlaskanlah hati kita dalam perjuangan ini. Sama ada mujahadah berdepan dengan musuh yang zahir mahupun tika berdepan dengan musuh yang batin. Kerana keikhlasan dalam bermujahadah oleh para pejuang telah dinukil oleh Allah s.w.t dalam surah As-Syuara ayat 109:

Ertinya: Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Inilah ucapan para mujahid yang mukhlis. Keikhlasan mereka diabadikan oleh Allah dalam Al Quran sebagai tanda kecintaanNYA kepada hamba-hamba Nya yang bermujahadah. Mereka berjuang di jalan Allah dengan ikhlas dan berhikmah tanpa mengenal jemu dan putus asa. Kerana istilah jemu dan putus asa tiada di dalam kamus seorang pejuang. Mereka berjuang tanpa mengharap sebarang imbuhan di dunia sama ada dalam bentuk sanjungan dan pujian, sebaliknya hanya mengharap dan menggapai kasih sayang Allah, buat menyuci dosa dan noda yang pernah dan sering terpalit di hati mereka. Agar kembalinya mereka ke pangkuan Allah kelak, bersama-sama hati yang tenang dalam keredhaan dan kasih sayang Allah.

Berkat perjuangan Baginda Rasulullah SAW, para sahabat radhiallahuanhuma dan para salafus soleh rahimahumullahu taala, maka kita bangsa Melayu di Kuala Besut ini dan Nusantara Kepulauan Melayu, mampu mengecapi nikmat yang paling agung dan manis. Iaitu nikmat Iman dan Islam. Maka syukurilah nikmat yang agung ini sambil kita memanjatkan selawat kepada baginda Rasulullah SAW. Kerana berkat perjuangan baginda SAW dan para mujahid baginda, maka kita bangsa Melayu yang sawo matang dan berhidung peset ini menikmati Iman dan Islam sebagai Ad Din.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari, para mujahid dan mujahidah yang sedang memburu syahid,

Kita tidak mampu memberi ganjaran yang setimpal kepada usaha-usaha yang dilakukan oleh para pejuang yang terdahulu. Hanyalah Allah s.w.t sahaja yang mampu memberikan ganjaran yang setimpal malah yang lebih, di atas penderitaan dan pengorbananan yang pernah mereka lalui demi melihat syiar Islam diagungkan di muka bumi. Akan tetapi, saudara-saudari sekelian, bagaimana pula kita sekarang ini? Apakah sumbangan kita terhadap kesinambungan perjuangan yang telah dirintis oleh mereka? Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 140:Ertinya:

Itulah umat yang telah berlalu sejarahnya. Untuk mereka apa yang mereka telah mereka usahakan dan untuk kamu apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan ditanya apa yang mereka kerjakan.

Inilah peringatan Allah buat kita agar kita akan menyelusuri jejak-jejak mereka dalam mencari salah satu antara dua pencapaian, iaitu kemenangan atau syahid.

Wahai generasi muda perjuangan ini, sedarlah. Bahawa masa depan perjuangan ini berada dipundak tanggung jawab mu. Contohilah para pejuang yang terdahulu dalam berkorban dan menderita. Merintis jalan perjuangan yang penuh onak dan ranjau kerana di hadapannya syurga yang manis. Didik dan serulah umat mu untuk mencapai kasih sayang dan keampunan Allah. Agar kita dan mereka diiktiraf sebagai hamba-hamba Nya yang dikasihi lagi diredhai. Jadikanlah amalan perjuangan ini sebagai amal jariah buat ibu dan ayah mu yang telah berada di sisi Allah Rabbul Izzati. Persetankanlah manusia-manusia fasiq dan para munafiq yang menyeru mu ke jalan kesesatan. Seandainya si munafiq dan si fasiq masih berdegil dan terus berpaling untuk mentaati Allah dan masih menyeru umat manusia ke jalan kesesatan dan lalai mentaati Allah, sesungguhnya Allah Maha Agung dan akan tetap agung. Seandainya para mujahid yang terdahulu mampu menyebarkan iman dan Islam di bumi Melayu ini, NAH ! Tanyailah diri kita. Apakah sumbangan kita untuk perjuangan ini ? Berapa banyakkah darah kita yang telah tumpah dan mengalir buat mengagungkan Islam ? Oleh itu, bangunlah dari tidur mu yang lena. Bangkitlah dan bunyikanlah semboyan jihad. Agar Allah diesakan. Agar Rasulullah SAW dijadikan ikutan. Agar Al Quran dijadikan rujukan. Agar syurga menjadi tempat rehat buat kita di akhirat. Seandainya bukan kamu generasi muda yang menyambung perjuangan ini, siapa lagi?

Wahai generasi tua, sedarlah, usia mu yang semakin lanjut menghampirkan diri mu di ambang pusara. Andainya kamu masih leka, awaslah, sesungguhnya siksaan Allah itu amat pedih. Gunakanlah sisa usia mu yang masih ada untuk mentaati Allah dan bukan memandu generasi muda ke arah kemungkaran dan maksiat. Kerana kelak dirimu akan terjerumus ke jurang neraka. Jangan dihina dan dinodai perjuangan para mujahid yang lalu dalam menyeru ke arah keimanan di tanah air kita. Jangan diruntuhkan benteng syariat yang dibina oleh para pejuang terdahulu dengan hiburan maksiat dan mungkar di hujung usia mu. Kerana kelak nanti dosa-dosa yang dilakukan manusia yang menyahut seruan maksiat mu menjadi saham dosa buat mu di akhirat. Masih tidak terlambat untuk mu berpaling dari kemaksiatan dan bersimpuh mengadap kebenaran. Masih belum terlambat untuk kau jadikan diri mu teladan yang baik buat generasi muda yang bakal mendatang. Melainkan, diri mu memang tidak direzkikan Allah dengan iman dan Islam. Sebagaimana diri Abu Talib Bin Abdul Mutalib tidak direzkikan dengan iman dan Islam. Maka bersedialah untuk menjadi bahan bakaran api neraka.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari yang dikasihi sekelian,Bertolong bantulah dalam menyeru ke arah yang makruf dan mencegah yang mungkar. Jangan dirosaki amal kebajikan dan benteng iman yang telah dibina oleh para pejuang yang terdahulu. Jangan kita berpaling dari cahaya keimanan dan berlari menuju kegelapan zulumat jahiliah setelah orang yang terdahulu menempuh penderitaan membawakan nikmat iman dan Islam buat kita. Jangan sesekali kita mengkhianati perjuangan orang yang terdahulu dengan mengagung-agungkan maksiat dan kemungkaran.

Saudara-saudari teman seperjuangan sekelian.

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk melahirkan lebih ramai para pejuang. Agar lidah perjuangan Rasulullah SAW akan terus bersambung. Agar bumi Allah ini akan dimekarkan dengan keindahan syariat Allah. Agar hablumminAllah dan hablumminannas tertegak. Agar umat manusia mampu bernaung dibawah payung keselamatan dan keindahan Islam.Jangan kita bertolong bantu dalam menjadi agen merosakkan generasi yang akan datang dengan serangan hiburan tanpa batasan dan pergaulan social promosi lacuran.

Buat para pejuang, persiapkanlah diri dengan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Pastikan ilmu itu di fahami, dihayati, diyakini, diamalkan dan diperjuangkan. Agar obor cahaya ilmu menerangi kegelapan jahiliah yang melanda masyarakat. Pertahankanlah identity agar tidak luput di telan gelombang arus kemungkaran. Hancur dan binasakanlah kubu-kubu maksiat dan mungkar. Lantas, binalah asas kekuatan iman dan taqwa di atas keruntuhan tersebut.Bersungguh-sungguhlah merubah keadaan masyarakat Islam agar kita terus mendapat kasih sayang Allah, insya Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Ar-Ra'ad ayat 11:Ertinya:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Mengawali sebuah perjuangan itu memang berat. Menjalaninya lebih berat. Tetapi menjaga kesinambungan sebuah perjuangan itu jauh lebih berat. Padahal, perjuangan itu tidak dinilai diawalnya, tapi diakhirnya.

Mendidik jiwa dan diri ini sebagai sang pejuang memang mudah. Tetapi, dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pejuang, semestinya ada ujiannya, kerana tapisan demi tapisan dilakukan sendiri oleh Yang Maha Kuasa, bagi-Nya memilih mereka yang benar-benar ikhlas berjuang dijalannya. Terkadang timbul perasaan lemah, letih, tidak bersemangat dan sebagainya.

Saudara-saudari seperjuangan sekelian.

Berdirinya saya di atas mimbar ini, tidak menjanjikan sebarang kesenangan dan kemewahan duniawi. Tidak juga menjanjikan kehidupan dan keindahan duniawi. Tapi apa yang saya janjikan hanya satu. Hanya menyampaikan janji yang diukir oleh Sang Pencipta, Allah Rabbul Alamin dalam firman Nya :

“ Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?. (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya.Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.” (As-Shaff:10-12)

Kunci kepada sebuah perjuangan adalah niat yang ikhlas kerana Allah SWT, syaratnya pula adalah bersungguh-sungguh dalam berjuang serta tidak berputus asa dan akhirnya adalah menjaga kesinambungan serta penerusannya.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil hamd

Saudara-saudari yang dikasihi sekelianAkhir kata. Tangisilah pemergian Ramadhan kerana keistimewaan Ramadhan yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Teruskanlah perjuangan di Ramadhan yang lalu sehingga kita bertemu kembali di Ramadhan yang akan datang dengan izin Allah. Jangan dirosakkan amalan kita di Ramadhan yang lalu dengan dosa dan kemungkaran menyambut Syawal cara didikan manusia fasiq. Kekalkanlah sifat taqwa semoga kita mendapat tempat yang mulia di sisi Allah S.W.T.

Baarakallah.....