Penggulungan The Seven Battle Assalamu a'laikum wrb
Alhamdulillah wa syukrulillah. Assolatuwassolamu a'la Rasulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT. Mudah-mudahan dengan mengucap syukur ke hadrat Allah SWT, akan ditambah nikmat ke atas kita oleh Allah, dengan nikmat-nikmat yang lain. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, semoga dengan mengucapkan selawat dan salam ke atas RAsulullah SAW, akan bertambah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW. Semoga dengan kecintaan itu, akan menjadi asbab buat kita untuk memperolehi syafaat Rasulullah SAW di akhirat nanti.Saudara dan saudari yang dihormati sekelian. Tamatlah sudah tazkirah bersiri fasa satu di teratak_ilmu dibawah tajuk The Seven Battle.
Secara ringkas, ianya mengupas akan peringkat-peringkat yang perlu dilalui oleh seorang Muslim untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT. The Seven Battle merupakan rentetan syarahan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ehsan Haji Harun berdasarkan Kitab Al Qatrul Ghaisiyah oleh Sheikh Ahmad Al Banjari dan Kitab Minhajul Abidin oleh Al Imam Ghazali rahimahumullahu ta'ala.
Selama 10 minggu yang telah kita sama-sama lalui, kita telah berusaha mengupas setakat termampu, berbekalkan ilmu yang sedikit ini, memperincikan ketujuh-tujuh peringkat yang dinisbahkan kepada pertempuran kerana kesukaran dan pengorbanan yang dituntut dalam menghampirkan diri kepada Allaah SWT.
Secara ringkasnya, dalam merintis jalan mencari keredhaan dan ampunan Allah SWT, terdapat tujuh peringkat atau tujuh a,qabah yang perlu dihadapi oleh seorang muslim.Di nisbahkan kepada pertempuran, adalah kerana dalam menempuh ketujuh-tujuh peringkat atau a'qabah, merupakan sesuatu yang harus dilakukan dengan kesungguhan, teliti dan menuntut pengorbanan sama ada pengorbanan masa, harta dan sebagainya.
Ketujuh-tujuh peringkat atau a'qabah atau pertempuran itu adalah :
1. A'qabatul Ilmi (Peringkat Ilmu)
2. A'qabatut Taubah (Peringkat Taubat)
3. A'qbatul A'wai'q (Peringkat Menghadapi Perkara Yang Menghalang Ibadah)
4. A'qabatul A'warid (Peringkat Menghadapi Perkara Yang Memesongkan Ibadah)
5. A'qabatul Bawai'th (Peringkat Berhdapan Dengan Perkara Yang Mendorong Ibadah)
6. A'qabatul Qawadih (Peringkat Berhadapan Dengan Perkara Yang Mencacatkan Ibadah)
7. A'qabatul Hamdi Wa Syukri (Peringkat Mengucap Puji dan Syukur)
PERTAMA : A'qabatul Ilmi (Peringkat Ilmu) kita disedarkan pentingnya Ilmu Fardhu Ain untuk difahami, diyakini dan diamalkan. Ilmu fardhu Ain yang dituntut kita pelajari dan amalkan ialah :
Ilmu Tauhid - Merangkumi persoalan rukun Iman dan kalimah syahadah yang wajib dipelajari secara tafsili oleh setiap muslim. Dalam perosalan beriman kepada Allah SWT. Sekurang-kurangnya seseorang muslim mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli kepada 20 sifat yang wajib bagi Allah SWT, 20 sifat yang mustahil bagi Allah dan satu sifat yang harus bagi Allah SWT. Seorang muslim wajib mampu mendatangkan dalil aqli dan dalil naqli walaupun secara ijmali.
Dalam persoalan beriman dengan Rasul dn Nabi, seorang muslim wajiblah mempelajari, memahami, meyakini akan Nabi & Rasul. Seorang muslim wajib mampu mendatangkan dalil aqli dan naqli walaupun secara ijmali (ringkas) akan 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi, 4 sifat yang wajib bagi Rasul/Nabi dan satu sifat yang harus bagi Rasul/Nabi. Ada 25 Rasul yang wajib diketahui oleh seseorang muslim. Dari Nabi Adam AS hinggalah Nabi Muhammad SAW. Di antara 25 orang Rasul yang wajib diketahui itu, ada pula 5 orang Nabi yang ulul azmi iaitu Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW. Yang dimaksudkan dengan ulul azmi ialah mempunyai keinginan yang teguh dan kesabaran yang tinggi dalam mengejar cita-cita dan matlamat yang telah diberikan oleh Allah SWT.
Dalam persoalan beriman dengan Malaikat, ada 10 malaikat yang wajib dipelajari, difahami dan diyakini oleh setiap Muslim.
Dalam persoalan beriman dengan Kitab, ada 4 kitab yang wajib diyakini oleh seseorang Muslim. Kitab Taurat diturunkan kepad Nabi Musa AS. Kitab Zabur kepada Nabi Daud AS, Kitab Injil kepada Nabi Isa AS dan Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, penutup segala nabi.
Dalam persoalan beriman dengan hari kiamat, wajiblah seseorang muslim yakin akan hari pembalasan, syurga dan neraka, mizan, titian sirat, mahsyar dan sebagainya.
Dalam persoalan beriman dengan qadha dan qadar, wajiblah seseorang muslim yakin dengan ketentuan yang baik dan buruk ke atas dirinya.
Walaupun hanya Allah yang memberi bekas, tetapi usaha dan ikhtiar adalah wajib bersesuaian dengan sunnatullah dan hukum adat.
Ilmu Fekah pula di dalamnya terkandung hal ehwal ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah. Melalui ilmu ini, seseorang Muslim diajar bagaimana beribadah kepada Allah SWT. Diajar akan rukun dalam setiap ibadah. Juga ditunjukkan syarat sah dan batal sesuatu ibadah dengan jelas, sama ada ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ianya juga menunjukkan jalan bagaimana menjalani hidup sebagai hamba Allah dan bagaimana hidup sebagai sebuah masyarakat Islam, sama ada dari segi kekeluargaan, dari segi hubungan kemasyarakatan dan dari segi menjaga hal ehwal keamanan fitrah yang telah Allah kurniakan kepada setiap insan yang bernama manusia.
Ilmu Tasauf adalah untuk menyuluh hal ehwal kerohanian atau hati kita, agar tetap lurus mentaati Allah dan Rasul Nya tanpa di pesongkan oleh bisikan yang sering mengajak ke arah kemungkaran. Oleh itu setiap muslim perlu mempelajari, memahami, meyakini 10 jenis sifat mahmudah (sifat terpuji) dan 10 jenis sifat mazmumah (terkeji).
Ketiga-tiga cabang ilmu inilah yang dituntut untuk kita pelajari, fahami, yakini dan diamalkan serta diperjuangkan.
KEDUA : A'qabatut Taubah (Peringkat Taubat). Peringkat ini seseorang wajiblah membersihkan dirinya dari dosa zahir dan batin. Taubat diwajibkan agar :
a. Kita mendapat keringanan dalam beribadah dan tiada kegusaran dan keresahan dalm hidup.
b. Ibadah kita diterima Allah SWT.
Ada dua jenis dosa yang dilakukan oleh seseorang muslim iaitu :
a. Dosa kepada Allah (melakukan larangan Nya atau meninggallkan suruhan Nya)
b. Dosa sesama manusia ( adalah yang berhubung dengan diri peribadi seseorang atau berkaitan dengan hartanya atau berkaitan dengan keluarganya atau berkaitan dengan agamanya)
Syarat taubat atas dosa kepada Allah SWT ada 3 :
1. Menyesal atas dosa
2. Meninggalkan perkara yang mengundang dosa
3. Berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan yang mengundang dosa
Syarat taubat atas dosa sesama manusia ada 4 :
1. Menyesal atas dosa
2. Meninggalkan perkara yang mengundang dosa
3. Berusaha untuk tidak mengulangi perbuatan yang mengundang dosa
4. Memohon maaf dan kifarah kepada orang yang dilakukan dosa
KETIGA : A'qabatul A'waiq (Peringkat Berhadapan Dengan Penghalang Untuk Beribadah). Ada 4 perkara yang menghalang seseorang muslim untuk beribadah.
1. Dunia
2. Manusia (Fasiq, Munafiq, Kafir Harbi)
3. Syaitan
4. Nafsu (Nafsu Ammarah, Lauwamah, Mulhamah)
Untuk berhadapan dengan godaan duniawi. Hendaklah seseorang muslim itu bersifat
zuhud.
Dalam menghadapi halangan yang ditimbulkan oleh manusia yang fasiq, munafik dan kafir harbi, maka hendaklah seseorang Muslim :
1. Bersabar dengan kesusahan dan kesukaran yang ditimbulkan oleh mereka.
2. Melengkapkan diri dengan ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah
3.Beramala dengan ilmu Fardhu AIn dan Fardhu Kifayah
4. Berdakwah kepada mereka
5. Berhadapan dengan mereka sebagaimana mereka menyerang kita. Jika diserang dengan ekonomi kuffar, kita perangi dengan ekonomi Islam berlandaskan syariat.etc
6. Berdoa kepada Allah
Untuk berhadapan dengan halangan yang dilahirkan oleh syaitan ini, maka hendaklah kita :
1. Melengkapkan diri dengan ilmu Fardhu Ain.
2. Gunakan ilmu Tauhid dan Feqah untuk mengenal halal dan haram.
3. Gunakanlah ilmu tasauf untuk menyuluh sifat mazmumah yang terkandung di dalam diri kita dan kikislah sifat tersebut dengan menggantinya dengan sifat mahmudah.
4. Sentiasa berlapar
5. Memohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam
Bagi berhadapan dengan nafsu yang buruk iaitu Ammarah, Lauwamah dan mulhamah serta mempertingkatkan quality nafsu ke tingkatan yang lebih tinggi, maka seseorang itu hendaklah bermujahadatunnafsi melalui proses mujahadatunnafsi. Proses mujahadatunnafsi ini melibatkan 3 perkara.
Yang pertama takhalli, iaitu mengikis/membuang sifat mazmumah(sifat terkeji) dalam diri.
Kedua ialah tahalli, iaitu mengisi/menggantikan sifat mazmumah dengan sifat mahmudah (sifat terpuji). Dan yang
ketiga tajalli, setelah seseorang telah berusaha mengungkai sifat mazmumah dan bersabar mengisi hatinya dengan sifat mahmudah, maka kemanisan dalam beribadah akan hadir, inilah yang dinamakan tajalli.
Untuk melalui ketiga-tiga proses ini, maka seseorang itu hendaklah :
1. Melengkapkan dengan ilmu Fardhu Ain dan beramal dengannya
2. Mengekang sifat mazmumah dan memaksa diri menerima sifat-sifat mahmudah dengan sabar.
3. Kekang bisikan hati, tindakan perbuatan dan percakapan dengan sifat taqwa.
4. Berdoa kepada Allah.
KEEMPAT : A'qabatul A'warid (Peringkat Menghadapi Perkara Yang Memesongkan Ibadah). Andainya perkara yang menghalang seseorang muslim untuk beribadah berjaya di atasi, namun masih ada lagi perkara yang memesongkan dan melalaikan seseorang muslim untuk beribadah iaitu :
1. Rezeki - kerana kesibukan mencari rezeki, maka ibadah telah terlalai. Solat di ta'akhirkan, zikir wirid disingkatkan, bacaan Al Quran diabaikan.
2. Khuatir - kebimbangan yang melanda apabila melakukan ibadah.
3. Musibah4.
Qadha & Qadar
Jalan penyelesaian kepada keempat-empat masalah di atas :
1. Hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT setelah kita berusaha dan berikhtiar.
2. Berserah diri kepada Allah SWT kerana sebagai Yang Maha Pencipta, Allah lebih tahu akan masa depan kita. Allah yang Maha Mengathui masa depan kita dan Allah yang mentadbir kehidupan kita.
3. Hendaklah bersabar dengan musibah yang melanda. Kuatkan pautan hati dengan Allah, dan ingatkan diri bahwa sebagai makhluk yang lemah tidak ada daya upaya kita untuk mengelakkannya melainkan dengan kudrah dan iradah Allah SWT.
4. Sentiasalah mengucapkan Innalillahi wainna ilai hirajiun (Dari Allah aku datang dan kepada Allah aku kembali”
5. Sentiasa mengucapkan La haula wala quwwata illah billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk.
6. Anggaplah musibah yang melanda sebagai kifarah dosa kita didunia dan sebagai ujian dari Allah untuk meningkatkan darjat kita disisi Allah SWT.
7. Apabila ketentuan Allah datang berbentuk nikmat, ucapkanlah istighfar dan alhamdulillah. Syukurilah nikmat Allah dan ingatkan diri sendiri, seandainya nikmat yang hadir gagal ditadbir dengan hukum Allah, hakikatnya kita telah kufur nikmat.
8. Bersabar dan redha dengan ketentuan Allah yang tidak kita ingini. Ingatkan diri bahwa kita adalah makhluk yang lemah dan Allah saja yang menjamin keselamatan di dunia dan di akhirat.
KELIMA : A'qabatul Bawai'th (Peringkat Berhdapan Dengan Perkara Yang Mendorong Ibadah). Dalam menyelusuri jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, Allah bekalkan buat hamba-hamba NYA 2 sifat yang mendorong untuk beribadah iaitu :
a. Khauf ( rasa takut atas ancaman Allah )
b. Raja' ( rasa harap atas ampunan dan rahmat Allah )
Kedua-dua sifat ini hyendaklah seimbang. Tidak boleh salah satu lebih dominan yang satu lagi. Jika khauf lebih diberati, ditakuti akan lahir manusia yang mudah berputus asa. Jika raja' yang lebih diberati, maka akan lahir manusia yang terlalu yakin dengan amalannya, dan merasa diri sudah dijamin syurga. Namun tatkala sampai sakaratul maut, hendaklah seseorang muslim itu meletakkan 100% rasa raja' atas rahmat Allah. Berbaik sangka dengan Allah.
Untuk mendapatkan dan menguruskan 2 perkara yang mendorong ibadah, maka hendaklah :
1. Sentiasa mengingatkan diri dengan Akhirat. Ingatkan diri tentang azab siksaan Allah. Ingatkan diri tentang kenikmatan syurga Allah.
2. Sentiasa ingatkan diri bahawa Allah Maha Hebat dan Allah Maha Pengampun.
3. Sentiasa berzikir
4. Membaca kisah para Nabi, Rasul, Para Sahabat dan orang di zaman salafussoleh.
KEENAM : A'qabatul Qawadih (Peringkat Berhadapan Dengan Perkara Yang Mencacatkan Ibadah). Ada dua sifat yang menjadi pokok kepada segala perkara-perkara yang mencacatkan ibadah iaitu :
a. Ujub - merasa hairan dengan diri sendiri, merasa dirinya amat istimewa, lain dari yang lain.
b. Riyak - melakukan sesuatu untuk mendapat anugerah dari makhluk dan bukan dari Allah SWT.
Faktor yang boleh menjadi sebab untuk berlaku ujub dan riyak ialah :
a. Darah keturunan
b. Jawatan pangkat kebesaran
c. Harta yang menggunung
d. Ilmu yang banyak
e. Wajah dan paras rupa yang indah dan cantik
f. Pengikut yang ramai
g. Kelebihan-kelebihan yang pada kebiasaan yang tidak terdapat pada orang lain
Manusia yang bersifat ujub dan riyak ini akan mendapat 2 keaiban dan 2 musibah iaitu :
a. Aib di hadapan malaikat dan aib di hadapan umat manusia di Padang Mahsyar.
b. Musibah kerana tidak beroleh syurga dan musibah dimasukkan ke neraka.
Ubat Riyak dan Ujub serta Cara Membersihkan Hati Daripada Riyak dan ujub1. Memperkemaskan ilmu Fadhu Ain dan beramal dengannya. Dengan itu seseorang muslim akan sedar bahwa dirinya adalah hamba Allah yang hina. Hanya Allah tempat dipersembahkan segala amalan, bukan kepada makhluk. Hanya kepada Allah seseorang mengharapkan balasan dan bukannya mengharap anugerah pemberian makhluk.
2. Apabila menerima nikmat, segeralah mengingati Allah dan ucapkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi. Lantas segeralah beristighfar kepada Allah kerana takut nikmat yang bakal diperolehi menjadikan kita lupa bahawa nikmat itu merupakan ujian buat diri kita.
3. Bersegeralah mengucapkan la haula wala quwata illa billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk Allah.
4. Apabila menerima nikmat, segeralah juga kita bandingkan nikmat yang kita perolehi itu dengan nikmat orang lain yang lebih besar dan berharga. Agar kita sedar bahwa nikmat yang kita perolehi itu tidak seberapa dan bila-bila masa sahaja Allah mampu menariknya semula. Dengan itu kita mampu bersyukur.
5. Apabila ditimpa musibah, segeralah kita membandingkan musibah tersebut dengan musibah orang yang lebih teruk dari kita. Agar nantinya kita akan bersabar dan redha dengan ketentuan Allah atas kita.
6. Sentiasalah menggauli orang yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kerana ianya menjadikan kita insaf akan kedudukan kita sebagai makhluk Allah yang lemah.
Maka tidak hairanlah ulamak-ulamak sufi dalam mendidik murid mereka agar tidak berlaku riyak dan ujub, anak-anak murid mereka dihina oleh mereka di khalayak ramai. Ini jelas diceritakan dalam kisah Sheikh Abu Yazid Al Bustami dan Sheikh Hassan Al Basri, mereka menghina dan mengaibkan orang-orang yang ujub dan riyak yang sedar mereka berbuat kemungkaran tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada kebenaran. Maka AL Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub menegaskan, harus mengaibkan orang yang ujub dan riyak di khalayak ramai sebagaimana harus seorang yang zalim diumpat, agar tindak tanduk mazmumahnya tidak diikuti oleh orang lain.
7. Bermujahadatunnafsi melalui tiga peringkat yang pernah dibincang dalam pertempuran yang lalu iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Bertafakur.
8. Memikir akan kebesaran Allah SWT.
Semoga syarahan yang ringkas ini mampu kita jadikan panduan untuk terus menghampirkan diri kepada Allah SWT.
KETUJUH : Aqabatul Hamdi Wa Syukri ( Mengucapkan Puji & Syukur )Adalah menjadi kewajiban ke atas setiap muslim menyatakan kesyukuran ke atas nikmat yang diperolehi atas dua sebab, iaitu :
a. Agar nikmat yang diperolehi dikekalkan Allah ke atasnya.
b. Agar Allah SWT mengurniakan nikmat-nikmat yang lain yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah SWT lebih mudah.
Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah nikmat ke atasmu. Seandainya kamu syukur, sesungguhnya azab KAMI amat pedih. (Surah Ibrahim : 7)
Nikmat Allah SWT ke atas hamba NYA ada 2 iaitu :
a. Nikmat dunia yang terkandung di dalamnya :
i. Nikmat berbentuk manfaat
1. Perawakan yang sempurna ( sihat tubuh badan, sempurna sifat )
2. Mengecapi pelbagai kesenangan fizikal seperti makan, minum, pakaian.
ii. Nikmat berbentuk perlindungan dari mudarat.
1. Allah memberi perlindungan dari wabak dan bala
2. Allah meindungi dari anasir-anasir yang mengundang kemudaratan
b. Nikmat berbentuk agama
i. Nikmat mendapat taufik dari Allah SWT
ii. Nikmat pemeliharaan dari Allah yang mengancam dari segi dunia dan akhirat.
Inilah antara nikmat-nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Maka sayugialah hendaklah kita mengucapkan puji dan syukur atas nikmat NYA dan jangan sesekali kita mengengkari dan kufur atas nikmat NYA.
Timbul pula persoalan; Bagaimanakah hendak disyukuri nikmat yang telah diperolehi ?Mudah sahaja, gunakanlah nikmat yang diperolehi untuk mentaati Allah dan menjauhi larangan NYA. Jangan sesekali menggunakan nikmat yang sedikit ini untuk melakukan perkara-perkara yang mengundang dosa.Semoga panduan ringkas ini dapat menjadi penyuluh buat kita dalam menuju ke arah keredhaan Allah SWT.
Semoga kebaikan yang terhasil dari kuliah ini menjadi jariah buat ibu & ayah ku, juga almarhum Datuk ku, terutamanya Guru-guru yang telah berjasa kepada ku.