Wednesday, January 25, 2006

Saidina Handzalah Pasti Keredhaan Allah Buat Mu

Handzalah by Rabbani

Relakanlah perpisahan kita ini
Iringilah pemergian daku nanti
Dengan doa yang tidak henti
Moga Islam terus berdiri

Usapilah genang air mata kasih
Senyumanmu penguat semangat daku
Andai kita tak jumpa lagi
Ku semai cintamu di syurga

Berpisahlah dua jiwa
Meninggalkan kuntum cinta
Mekar di istana taqwa
Menyahut panggilan Allah

Dengan nama-Mu Allah yang Maha Gagah
Langkahku atur pasrah daku berserah
Menangkanlah kaum muslimin
Hancurkanlah kaum musyrikin

Handzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke Firdausi

Hening malam menyaksikan
Korban cinta dua insan
Baru diijabkabulkan
Rela menyahut seruan
Demi Islam ditegakkan
Jihad menjadi pilihan


Senilagu: Yusri Yusof
OP : EMI Music Publishing (M) Sdn Bhd
Senikata : B Nury
OP : Permata Audio Publishing Sdn Bhd

Monday, January 23, 2006

Belum Beubah Pusara Rasulullah Maka Kau Mahu Mengubah Perintah Rasulullah ?

Saudara jemaah sekelian, Subuh ini merupakan hari terakhir kita bersama-sama berkampung disini, di musim ini. Insya-Allah, suatu hari nanti kita akan ketemu kembali di sini jika diizinkan Allah. Yang pasti, kita akan berkumpul jua di satu hari yang telah ditetapkan Allah. Di hari itu, manusia pertama yang wujud di mukabumi juga akan bersama-sama berkumpul dengan kita. Di hari itu juga, kita sudah tidak punya masa untuk memikirkan apakah yang sedang dan bakal terjadi kepada saudara-mara kita. Yang hanya terlintas di kotak fikiran kita hanyalah satu persoalan, "Apakah untung nasib ku di mahkamah Allah ini ?". Itulah perkumpulan yang akbar, perhimpunan di Padang Mahsyar. Di mana segala amal kebajikan dan amal kemungkaran mendapat perhitungan dan dinilai di mizan. Di situlah nanti akan terbukti sama ada ke syurgakah atau ke nerakakah tempat perhentian kita di negara yang kekal abadi.

Saudara-saudari yang dikasihi sekelian. Saya ingin mengambil kesempatan di Subuh terakhir kita bersama kali ini, untuk berkongsi sebuah lagi kisah yang pernah di ceritakan oleh arwah datuk saya sewaktu kami kecil.

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, Rasulullah SAW telah meyusun satu angkatan tentera untuk berhadapan dengan tentera Rom. Rasulullah SAW juga telah melantik Usamah Bin Zaid sebagai pemimpin bala tentera Muslim. Antara para sahabat yang terpilih untuk menjadi tentera muslimin untuk ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun ketentuan Allah mendahului segalanya, sebelum tiba tarikh keberangkatan bala tentera tersebut, Allah telah menjemput kekasih-Nya untuk kembali ke sisi-Nya. Kewafatan baginda Rasulullah SAW, meninggalkan jutaan kenanangan buat umat baginda. Perginya Rasulullah SAW dalam linangan air mata sambil melafazkan "Umat Ku, Umat Ku, Umat Ku" sebagai tanda kecintaan baginda buat umatnya. Begitulah pengorbanan seorang pemimpin.

Setelah jasad Rasulullah SAW diuruskan, maka berhimpunlah ahlul hilli wal aqdi untuk melantik pemimpin. Berikutan syura yang dijalankan, keputusan diambil dan Saidina Abu Bakar As Siddiq telah dilantik oleh ahlul hilli wal aqdi sebagai khalifah. Setelah perlantikan dirasmikan, maka berucaplah Saidina Abu Bakar As Siddiq. Setelah tamat ucapannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah didatangi oleh Saidina Omar Al Khattab. Maka berlakulah dialog antara kedua orang sahabat sejati Rasulullah SAW yang diredhai Allah itu.

Omar : Wahai Abu Bakar, Rasulullah SAW baru saja meninggalkan kita. Sebelum kewafatan baginda, telah disusun satu angkatan tentera bagi berhadapan dengan tentera Rom. Memandangkan tarikh keberangkatan angkatan tentera kita agak hampir, apakah pandangan mu, andainya kita tangguhkan dulu keberangkatan tentera kita ke suatu tarikh yang lain ?

Dengan nada yang tegas, Saidina Abu Bakar As Siddiq menjawab usulan yang dimajukan oleh Saidina Omar Al Khattab.

Abu Bakar : Wahai sahabat ku Omar. Belum berubah pusara Rasulullah(SAW), maka engkau sudah mahu mengubah arahan Rasulullah SAW ? Demi Allah dan Rasul-Nya. Aku akan tetap menghantar tentera muslimin untuk berhadapan dengan tentera musyrikin.

Jawapan Saidina Abu Bakar As Siddiq yang tegas telah menamatkan dialog tersebut. Saidina Omar Al Khattab akur dengan keputusan sahabatnya.

Setelah tarikh keberangkatan tiba, maka berbarislah para tentera muslimin. Antara yang turut berbaris ialah Saidina Omar Al Khattab. Setelah khutbah dan nasihat dibacakan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq selaku khalifah. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah turun dari mimbar Masjid Nabi dan berjalan menuju barisan tentera yang bakal bertolak ke medan jihad. Maka berjalanlah Saidina Abu Bakar As Siddiq menemui ketua tentera muslim, Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Lalu berkatalah Saidina Abu Bakar As Siddiq dalam nada perlahan, tawaddhuk dan penuh rasa kehambaan kepada Saidina Usamah bin Zaid.

Abu Bakar : Sahabatku Usamah. Kau dilantik oleh Rasulullah SAW untuk mengepalai bala tentera ini, maka kekalkanlah diri mu disana. Tidak akan ku ubah apa yang telah diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW atas mu. Namun aku hanyalah seorang manusia yang lemah. Dan jawatan khalifah yang baru ku sandang ini, amat berat dan merupakan suatu ancaman buat diri ku. Ianya suatu amanah yang haram untuk aku khianati. Tiada daya ku atas usaha ku, melainkan dengan izin Allah. Maka ku harap belas ihsan mu, agar Omar Al Khattab diberi kelonggaran untuk tidak turut serta dalam angkatan perang ini. Agar dapat aku berbincang dengannya tentang hal ehwal pengurusan negara kita.

Kata-kata Abu Bakar As Siddiq itu mengundang linangan air mata keseluruhan umat Islam di Madinah. Manakah dapat dicari, seorang khalifah berjawatan tinggi, tetapi masih mengekalkan sifat tawadduk dan menjaga adab sesama pengikut ? Berkatalah Usamah :

Usamah : Wahai Abu Bakar Amirul Mukminin, jika begitu kehendak mu, Demi Allah dan Rasul-Nya, ku izinkan Saidina Omar untuk tinggal bersama mu di kota Madinah agar dapat dia menjadi pembantu mu, sebagaimana engkau pernah menjadi pembantu kepada Rasul kecintaan ku suatu masa dulu.

Maka tinggallah Sadina Omar Al Khattab di kota Madinah membantu Saidina Abu Bakar menjalankan urusan pentadbiran negara.

Saudara-saudari sekelian. Walaupun kisah ini amat singkat. Namun disebalik kisah ini terdapat banyak suri teladan yang mampu kita pelajari. Antara teladan yang mampu kita pelajari ialah :

1. Peranan jemaah Ahlul Hilli Wal Aqdi dalam menentukan kepimpinan.
2. Sifat seorang pemimpin dan hamba Allah yang tawadduk dan dengan rasa kehambaan sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq kepada umat Islam di kala itu, juga Saidina Omar Al Khattab yang menjadi sahabat utama Rasulullah SAW, bersedia menjadi tentera biasa dibawah pimpinan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.
3. Ketegasan dan kelembutan dalam melaksanakan titah perintah dari Rasulullah SAW sebagaimana ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq.
4. Pentingnya syura dalam mencari sesuatu keputusan sebagaimana ditunjukkan oleh Ahlul Hilli Wal Aqdi, Saidina Abu Bakar As Siddiq, Saidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid rhu.
5. Pentingnya sahabat yang sejati dalam melaksanakan sesuatu mekanisme menuju matlamat.
6. Jawatan pemimpin bukanlah tiket untuk memperhambakan rakyat, tetapi merupakan suatu amanah yang HARAM untuk dikhianati.
7. Pentingnya mempunyai sahabat-sahabat yang sama-sama bersatu dari segi aqidah, ibadah, akhlak, hal khilafiah dan penentuan kawan/lawan dalam pentadbiran sebagai mana di tunjukkan oleh Saidina Abu Bakar AsSiddiq, Sasidina Omar Al Khattab dan Saidina Usamah Bin Zaid.

Dalam kisah tersebut juga, didedahkan kepada kita betapa sistematiknya sistem yang telah dijadikan blueprint oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh para sahabat.

Dinyatakan dengan jelas, Rasulullah SAW telah memilih sahabat-sahabatnya untuk pergi ke medan jihad, diketuai oleh Saidina Usamah Bin Zaid rhu. Antara tentera yang bakal ke medan jihad ialah Saidina Omar Al Khattab. Namun Saidina Abu Bakar As Siddiq, tidak menggunakan kuasa mutlaknya sebagai khalifah untuk menjadikan Saidina Omar Al Khattab sebagai pembantunya dalam mentadbir negara. Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menemui Saidina Usamah Bin Zaid, dan mereka bermesyuarat, agar kesefahaman dicapai antara mereka. Ini sebagai tanda kepada kita yang lemah iman ini, Sedangkan orang yang telah dijamin syurga dan sahabat uatama Rasulullah SAW pun bermesyuarat dalam menentukan sesuatu keputusan, apatah lagi orang yang macam muka kita ini, memang patut kita semua bermesyuarat.

Kisah ini juga menunjukkan jalan kepada kita, kaedah untuk over-ride sesuatu arahan dengan cara yang berakhlak. Rasulullah SAW telah menamakan Saidina Usamah bin Zaid sebagai ketua tentera dan Saidina Omar Al Khattab sebagai salah seorang tentera. Saidina Abu Bakar As Siddiq, mengekalkan perintah dasar iaitu Usamah Bin Zaid sebagai ketua tentera. Untuk mendapatkan khidmat Saidina Omar Al Khattab dalam pentadbirannya, Saidina Abu Bakar As Siddiq telah menemui ketua tentera untuk "meminjam" Saidina Omar Al Khattab dalam menjalankan pentadbiran negara.


Dalam kisah tersebut banyak pengajaran yang dapat kita perolehi. Saya hanya menyebut sebahagian dari pengajaran yang tersurat. Namun disebalik kisah tadi, masih ada banyak pengajaran yang tersurat dan yang tersirat boleh kita ambil darinya. Sama-samalah kita jadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan. Tidak lupa, bahawa sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah bagaikan bintang-bintang dilangit. Pilihlah salah satu antara mereka, nescaya kita beroleh petunjuk.

The Seven Battle : Pertempuran Berhadapan Dengan Perkara yang Mencacatkan Ibadah

1. Muqaddimah Perkara Mencacatkan Ibadah
2. Riyak
3. Ujub
4. Perkara Yang Mendorong Kepada Ujub dan Riyak
5. Kesan Sifat Riyak & Ujub Ke Atas Diri dan Masyarakat
6. Jalan Penyelesaian : Ubat Kepada Penyakit Riyak & Ujub

1. Muqaddimah Perkara Yang Mencacatkan Ibadah

Dalam menyelusuri perjalanan menghampirkan diri kepada Allah SWT, seseorang muslim yang telah berjaya melalui 5 halangan yang menagih pertempuran, terpaksa pula melalui dan menempuh halangan yang ke-6. Halangan yang ke-6 ini juga terpaksa ditempuhi dengan usaha yang gigih bagai seorang tentera bertempur di medan perang. Malah halangan yang ke-6 inilah yang menjadi titik tolak, sama ada, 5 pertempuran yang pernah di menangi sebelum ini, dapat digunakan dalam mentaati Allah SWT serta menjauhi larangan Nya. Kegagalan dan kekalahan dalam pertempuran yang ke-6 ini menyebabkan si pejuang terpaksa berundur semula ke titik permulaan. Dan mendaki semula tangga pertempuran dari awal satu per satu. Inilah kesan kekalahan dalam pertempuran yang ke-6. Halangannya tidak banyak. Hanya dua. Namun impak yang berlaku amat besar, mendalam serta merugikan individu. Maka dengan itu pertempuran yang ke-6 ini dinamakan sebagai pertempuran berhadapan dengan perkara yang mencacatkan ibadah. Ada dua perkara yang menyebabkan ibadah seseorang menjadi cacat. Yang pertama ialah riyak dan yang kedua ialah ujub.

2. RIYAK

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (Al Baqarah ayat 264)

Apakah makna riyak ? Riyak ialah ungkapan atau pekerjaan yang dilakukan dengan niat selain dari mengharapkan keredaan Allah. Membuat sesuatu kerana ingin dipuji atau takut dikeji. Setiap amal dilakukan demi mengharap penghargaan dari makhluk dan bukan Al Khaliq Yang Maha Agung. Lebih malang, sifat riyak ini sanggup menafikan kebenaran, walaupun dirinya tahu apa yang dilakukan itu suatu kemungkaran. Dan yang paling hina dan malang, bukan setakat sanggup menafikan kebenaran dan mendewakan kemungkaran, Mereka yang mempunyai sifat riyak ini kerana kerakusan sanggup menentang kebenaran walaupun dirinya tahu, kebenaran itu adalah hakiki. Inilah yang berlaku kepada Azazil.

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekamunya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Al Baqarah 34)

Rasulullah SAW juga telah bersabda: "Sesungguhnya yang paling saya takutkan pada kamu adalah syirik paling kecil" Para sahabat bertanya: "Apa yang dimaksudkan syirik paling kecil itu?" Baginda menjawab: "Riyak." Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari semua amal hamba dibalas (hari kiamat): "Datangilah orang yang dulu kamu tunjukkan amal kamu padanya di dunia, lihatlah apakah kamu mendapatkan balasan daripada mereka." (Hadis riwayat Ahmad dan Al Baghawi. Syekh al Albani berkata: sanadnya baik (jayyid)," lihat Salasilah Hadis Sahih)

Azazil tahu bahawa Adam AS adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, dan Azazil juga tahu bahwa hanyasanya Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa, namun Azazil sanggup menjadikan dirinya Iblis laknatullah. Iblis menentang kebenaran yang sememangnya diketahui olehnya, semata-mata kerana riyak dan merasakan diri sempurna. Apa yang dilakukan oleh Iblis ialah kerana ingin mengharapkan penghargaan makhluk, kerana dulu dia merupakan Tok Guru kepada para malaikat. Mana mungkin Tok Guru kepada para Malaikat mesti tunduk menghormati seorang manusia yang dibuat dari tanah yang hina bernama Adam ? Seandainya penghargaan makhluk yang dicari, nah inilah natijahnya, kemurkaan Allah yang diperolehi. Oleh itu marilah kita berusaha untuk mengikhlaskan hati. Kerana lawan kepada sifat riyak adalah ikhlas.

3. UJUB

Rasulullah SAW bersabda :

Sekairanya kamu tidak pernah berdosa, tentulah aku takut kalau kamu ditimpa dosa yang lebih besar iaitu ujub (rasa kagum dengan diri sendiri = syok sendiri) (Riwayat Al Bukhari)

Apakah makna ujub ? Ujub ialah suatu perasaan yang menjadikan seseorang itu rasa hairan dengan dirinya. Rasa dirnya amat istimewa lain dari yang lain. Atau dalam istilah kasar Melayu, syok sendiri atau perasan. Akhirnya sifat ini akan menjadikan yang empunya diri terlalu membesar-besarkan diri hingga melupakan hak Allah SWT. Sifat ujub inilah juga yang menjadi sifat Azazil. Disebabkan diri Azazil yang menjadi Tok Guru kepada para Malaikat, maka Azazil merasakan dirnya sudah hebat. Maka dia engkar kepada kebenaran, walaupun dia tahu kebenaran itu adalah hakiki yang dating dari Allah SWT. Azazil sanggup menjadi Iblis laknatullah semata-mata kerana merasakan dirinya Maha Hebat dan Maha Pandai.

Maka wajib ke atas setiap muslim untuk mengabdikan diri kepada Allah menjauhi sifat ujub kerana :

Ujub menghalang taufik dan rahmat Allah. Apabila tiada taufik dan rahmat dari Allah, maka hinalah manusia dan binasalah hidupnya dunia dan akhirat.
Ujub merosakkan amal soleh.

Sebab itu, dalam kitab-kitab kuning, ada disebut ; Ketahuilah olehmu, bahawasanya ujub itu ialah menganggap agung atas amal soleh, ilmu yang diperbuat oleh dirinya sendiri. Contohnya dengan mengatakan "Akulah yang paling soleh, tidak ada orang lain yang melebihi kesolehanku". Menurut perkiraan si hamba bahawa yang menjadi sebab berhasilnya kemuliaan amal soleh itu ialah dengan sebab adanya suatu perkara, bukan dengan pengantaraan Allah, atau dengan sebab manusia itu sendiri.

Imam Al Ghazali dalam Minhajul Abidin menyatakan. Walaupun ada factor-faktor lain yang boleh mencacatkan ibadah, tetapi pokok kepada factor-faktor yang lain adalah riyak dan ujub.


4. Perkara-perkara Yang Boleh Mendorong Kepada Sifat Ujub & Riyak

Sifat riyak dan ujub ini ada dalam diri setiap manusia. Dan kedatangannya bagai angin bayu tanpa kesedaran kita. Setiap kelebihan dan nikmat anugerah Allah yang ada dalam diri kita walaupun sedikit, mampu mencetus rasa riyak. Lebih-lebih lagi jika kelebihan dan nikmat yang menjadi milik kita bukan sedikit. Antara nikmat dan kelebihan yang boleh menjadi asbab ke arah sifat riyak ialah :
  1. Darah keturunan
  2. Jawatan pangkat kebesaran
  3. Harta yang menggunung
  4. Ilmu yang banyak
  5. Wajah dan paras rupa yang indah dan cantik
  6. Pengikut yang ramai
  7. Kelebihan-kelebihan yang pada kebiasaan yang tidak terdapat pada orang lain

5. Kesan Ujub Dan Riyak Kepada Diri dan Masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW;

Tiga perkara yang membinasakan manusia
(Pertama) Kikir yang diikuti
(dan Kedua) Hawa nafsu yang diikuti yakni mengikut perbuatan yang disukai oleh nafsunya
(dan Ketiga) rasa ujub seorang akan dirinya.
Kesan dua sifat mazmumah ini terhadap diri pemiliknya ada dua jenis kerosakan yang akan menimpa dirinya.

Pertama ialah pembuat ujub dan riyak akan menerima 2 keaiban. Kedua ialah pembuat riyak akan menerima 2 musibah.

Dua keaiban itu ialah :
Keaiban secara samar iaitu diaibkan Allah di hadapan para malaikat. Amal ibadahnya tidak diterima oleh Allah SWT. Malah Allah memerintahkan para malaikat mencampakkan amal ibadah tersebut ke muka si pembuat ujub dan riyak.
Keaiban di hadapan seluruh manusia di Padang Mahsyar, dari manusia pertama yang hidup dimukabumi iaitu Nabi Adam AS, hinggalah manusia yang terakhir hidup di kala Israfil meniup semboyan sangkakala. Maka tidak hairanlah ada juga berlaku manusia yang ujub dab riyak, diaibkan Allah di dunia lagi sebelum diaibkan di akhirat.

Dua musibah ialah :
Syurga haram ke atasnya, kerana pembuat ujub dan riyak menanggung akibat buruk dari perlakuannya sehingga terjerumus ke dalam kekafiran sebagaimana yang berlaku kepada Azazil. Lantas tercabutlah iman dan terjerumus ke dalam neraka.
Neraka tempat perhentiannya. Inilah tempat perhentian yang sewajarnya buat manusia yang ujub dan riyak.

Seandainya hati tidak dididik dengan iman, maka kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada kita akan menjadi asbab untuk seseorang manusia berlaku riyak.

Apabila seseorang berlaku ujub dan riyak, maka wujudlah jurang perbezaan antara orang yang menerima nikmat Allah dan orang yang kurang beroleh nikmat. Yang menerima nikmat akan memandang rendah kepada yang hidup dalam kekurangan. Maka jurang perbezaan dan jurang perpecahan semakin besar. Hancurlah ukhwah, justeru itu memberi ruang kepada musuh Islam untuk menakluki umat Islam.

Hakikatnya, kelebihan dan nikmat yang dianugerahkan Allah buat kita di dunia ini, bukanlah wasilah untuk kita menunjuk-nunjuk dan berlakuujub atau pun riyak, sebaliknya adalah ujian dari Allah sama ada kita mampu mensyukuri nikmat tersebut dan berkongsi kelebihan yang kita miliki bersama-sama dengan orang yang kurang bernasib baik. Agar nantinya, berputik bunga ukhwah dan kasih sayang, serta hubungan sesama manusia saling lengkap-melengkapi.

Ingin ditegaskan, sifat ujub dan riyak ini mampu menyerang sesiapa sahaja. Orang yang tidak mempunyai sebarang kelebihan juga mampu menjadi ujub dan riyak. Tetapi malang dan bodohlah dirinya kerana berlaku ujub dan riyak dalam keadaan serba kekurangan. Bak kata pepatah melayu, menjadi seorang yang bodoh sombong. Dan sifat ujub dan riyak yang paling hina ialah apabila telah nyata akan kebenaran, maka kita memalingkan diri dari kebenaran, malah kita menentang dan memusuhi kebenaran. Di kala ini, martabat kita saling tidak tumpah sifat si iblis yang dilaknati Allah. Maka memang sewajarnyalah, manusia yang bersifat ujub dan riyak ini, dijerumuskan ke lembah penghinaan di dunia dan dibakar di neraka.

Seandainya seseorang Muslim benar-benar yakin dengan akhirat dan rukun iman yang lain, pastinya mereka tidak akan celupar untuk berlaku riyak. Kerana mereka sedar hakikat kejadian manusia adalah dari setitis air mani yang hina lalu dijadikan batang tubuh jasad manusia. Dan kejadian manusia itu sendiri adalah sebagai seorang HAMBA. Tidak lebih dari itu. Maka sewajarnyalah setiap perlakuan si Hamba, adalah untuk mendapat keredhaan dari Tuhannya dan bukan untuk hidangan hamba-hamba yang lain. Maka dengan sebab itulah, untuk mengatasi sifat riyak, hendaklah seseorang itu berlaku ikhlas.

6. Ubat Riyak dan Ujub serta Cara Membersihkan Hati Daripada Riyak dan ujub

Kita telah mengetahui bahawa riyak dan ujub menghapuskan amal, mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan pembinasa yang paling besar. Kalau memang begitu keadaannya, maka sudah sepatutnya kita sungguh-sungguh mengatasinya. Untuk mencabut akar umbi riyak dan ujub, maka hendaklah seseorang muslim mempunyai sifat ikhlas. Ikhlas adalah lawan kepada sifat riyak sementara tawadduk adalah lawan kepada sifat ujub. Ada beberapa peringkat untuk memperolehi sifat ikhlas dan tawadduk.

Pertama: Memotong akar atau asal-usul datangnya penyakit ini iaitu suka dipuji, terasa amat pahit sekiranya dicela dan sangat tamak untuk dimiliki apa yang dimiliki orang lain. Tiga perkara inilah yang menggerakkan seseorang bersifat riyak dan ujub. Cara mengatasinya: Kita perlu sedar bahaya riyak dan ujub dan akibat yang ditimbulkannya seperti menghalang seseorang memperoleh hati yang baik (bersih), mendapatkan taufik di dunia, tidak mendapatkan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat nanti, balasan yang akan diterima berupa seksaan kemurkaan yang dahsyat dan kehinaan yang nampak. Bagaimanapun, jika seorang hamba memikirkan kehinaan tersebut, kemudian membandingkan apa yang didapatkannya berbanding akibat yang diperoleh, ia dengan mudah akan menghilangkan keinginan tersebut. Seperti seseorang yang mengetahui bahawa madu itu lazat, tetapi sekiranya di dalamnya terdapat racun yang boleh mendatangkan keburukan, ia akan meninggalkan madu tersebut.

Kedua: Menghilangkan pelbagai (bisikan) yang datang mengganggunya ketika melakukan ibadah. Orang yang inginkan kebaikan akan memerangi penyakit di dalarn jiwanya dengan memotong punca-punca riyak dan ujub, menghilangkan rasa tamak dan menganggap hina pujian dan celaan orang. Jika terbetik dalam benaknya bahawa orang-orang sedang melihatnya, ia akan melawannya dengan mengatakan pada dirinya: Apa keperluan mu dengan orang-orang itu, sama ada mereka tahu. atau tidak keadaan dirimu, yang pasti Allah SWT mengetahui keadaan dirimu. Apa faedahnya orang mengetahui amal kita? Jika keinginan untuk mendapatkan pujian sedang bergejolak, ingatlah akan penyakit riyak dan ujub yang ada dalam hati yang akan menyebabkan seseorang mendapatkan murka Allah SWT dan kerugian yang besar di akhirat nanti.

Oleh itu, untuk memotong akar asal usul ujub dan riyak, serta untuk menghilangkan bisikan yang datang, seseorang muslim hendaklah :

  1. Memperkemaskan ilmu Fadhu Ain dan beramal dengannya. Dengan itu seseorang muslim akan sedar bahwa dirinya adalah hamba Allah yang hina. Hanya Allah tempat dipersembahkan segala amalan, bukan kepada makhluk. Hanya kepada Allah seseorang mengharapkan balasan dan bukannya mengharap anugerah pemberian makhluk.
  2. Apabila menerima nikmat, segeralah mengingati Allah dan ucapkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi. Lantas segeralah beristighfar kepada Allah kerana takut nikmat yang bakal diperolehi menjadikan kita lupa bahawa nikmat itu merupakan ujian bujat diri kita. Bersegeralah mengucapkan la haula wala quwata illa billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk Allah.
  3. Apabila menerima nikmat, segeralah juga kita bandingkan nikmat yang kita perolehi itu dengan nikmat orang lain yang lebih besar dan berharga. Agar kita sedar bahwa nikmat yang kita perolehi itu tidak seberapa dan bila-bila masa sahaja Allah mampu menariknya semula. Dengan itu kita mampu bersyukur.
  4. Apabila ditimpa musibah, segeralah kita membandingkan musibah tersebut dengan musibah orang yang lebih teruk dari kita. Agar nantinya kita akan bersabar dan redha dengan ketentuan Allah atas kita.
  5. Sentiasalah menggauli orang yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kerana ianya menjadikan kita insaf akan kedudukan kita sebagai makhluk Allah yang lemah. Maka tidak hairanlah ulamak-ulamak sufi dalam mendidik murid mereka agar tidak berlaku riyak dan ujub, anak-anak murid mereka dihina oleh mereka di khalayak ramai. Ini jelas diceritakan dalam kisah Sheikh Abu Yazid Al Bustami dan Sheikh Hassan Al Basri, mereka menghina dan mengaibkan orang-orang yang ujub dan riyak yang sedar mereka berbuat kemungkaran tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada kebenaran. Maka AL Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub menegaskan, harus mengaibkan orang yang ujub dan riyak di khalayak ramai sebagaimana harus seorang yang zalim diumpat, agar tindak tanduk mazmumahnya tidak diikuti oleh orang lain.
  6. Bermujahadatunnafsi melalui tiga peringkat yang pernah dibincang dalam pertempuran yang lalu iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Bertafakur. Memikir akan kebesaran Allah SWT.Semoga syarahan yang ringkas ini mampu kita jadikan panduan untuk terus menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Salah Meninggalkan Ketaatan kerana Takut Riyak dan ujub

Ada orang yang meninggalkan amal kebajikan kerana takut riyak dan ujub. Ini satu sikap yang salah, sesuai dengan keinginan syaitan untuk mengajak manusia malas (beramal) dan meninggalkan kebaikan. Jika dorongan hati untuk beramalnya adalah benar dan sesuai dengan tuntunan syariat, maka jangan meninggalkan amal kerana ada bisikan yang takutkan jika beramal kerana riyak dan ujub. Yang baiknya, seseorang itu berusaha mengatasi bisikan tersebut dan menanamkan dalam dirinya malu terhadap Allah SWT dan mengganti harapan mendapat pujian manusia dengan harapan kerana Allah SWT, Fudhail bin Iyadl berkata: "Beramal kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak dan ujub dan ikhlas adalah ubat yang akan menyelamatkan manusia daripada kedua penyakit tersebut. "

Hukamak juga ada berkata: "Barang siapa yang meninggalkan amal kerana takut tidak ikhlas maka ia telah meninggalkan ikhlas dan amal."

Monday, January 02, 2006

Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan pershabatan ku dengan mu !!!

Sewaktu saya kecil, arwah datuk saya sering menceritakan kisah-kisah waliyullah kepada kami adik beradik. Antara kisah yang diceritakan yang masih basah dalam ingatan saya ialah kisah antara Sheikh Hassan Al Basri dan Khalifah Harun Al Rashid. Jadi saya ingin mengambil kesempatan di subuh yang berkat ini, untuk mengingatkan diri saya iktibar di sebalik kisah ini, serta berkongsi dengan saudara dan saudari. Semoga ianya dapat menjadikan kita insan yang lebih baik hari ini dan hari hari yang mendatang, berbanding hari-hari kita yang sudah berlalu.

Sewaktu menjelang hari perlantikan Harun Al Rashid menjadi khalifah, dia telah mengarahkan seorang Menterinya untuk mengutus surat jemputan kepada rakan-rakan rapatnya ke majlis meraikan perlantikannya. Dalam majlis tersebut, rakan-rakannya akan diraikan oleh Harun Al Rashid dengan jamuan yang lazat-lazat. Harun Al Rashid juga menghadiahkan kepada mereka dengan hadiah yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Antara yang dijemput ialah Hasan Al Basri.

Setelah tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun hadir. Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan lazat, serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di penghujung majlis. Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati ada satu hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada jemputan. Maka bertanyalah Harun Al Rashid kepada Menterinya.

Harun Al Rashid : Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada jemputan yang belum menerimanya ? Atau jemputan tersebut tidak sudi menerima hadiah ku ini ? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?

Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal.

Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut ?

Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah.

Harun Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut. Setelah berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya.

Harun Al Rashid : Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan Al Basri. Mungkin kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan jemputan khusus dan majlis untuknya yang khusus, baru dia senang menerima hadiah anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah ke madrasahnya dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya.

Harun Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan Menterinya untuk menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri. Sang Menteri pun segera bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri membawa surat tulisan tangan Harun Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana.

Sewaktu Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang memberikan kuliah pengajian kepada murid-muridnya. Menteri tersebut terus berjalan menuju ke pintu madrasah.Hassan Al Basri, sewaktu terpandang Menteri dari istana datang menuju ke tempatnya berubah riak muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan mukanya dari Sang Menteri dengan riak muka yang marah dan benci.

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri

Tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan mukanya dari Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di situ.

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri

Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2.

Masih tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya. Murid-muridnya juga berasa kehairanan.

Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid.

Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3.

Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri.

Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan, membawa surat dari khalifah.

Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab salam Menteri tersebut.

Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada yang marah). Untuk apa kau ke mari ?

Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini.

Jawab Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al Basri. Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan segera mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh dirinya.Hal ini juga mengejutkan murid-muridnya.

Murid : Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya menyampaikan surat Tuannya.

Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar.
Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai Madrasah. Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca.

Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri.

Tujuan ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis meraikan perlantikan ku sebagai khalifah. Mungkin engkau sibuk sewaktu hari pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis tersebut. Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan sekali lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu. Akan ku jamu engkau dengan hidangan yang enak dan lazat. Dan akan ku anugerahkan kepada mu hadiah yang cantik dan mahal. Aku harap engkau akan hadir ke istana ku esok hari untuk majlis ini.

Sekian.

Daripada Khalifah Umat Islam, Khalifah Harun Al Rashid

Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri mengarahkan muridnya.

Hassan Al Basri : Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid dibelakang suratnya.

Salam,

Harun,

Apakah kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat, serta anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong perbuatan mungkar mu ?

Tahukah kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai khalifah, datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ? Engkau tergamak menggunakan harta Baitul Mal yang hakikatnya milik rakyat bagi membiayai majlis peribadi mu. Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan miskin, anak-anak yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada tempat bergantung. Kau biarkan mereka tidur dalam kelaparan bersama fikiran yang rungsing memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki keesokan hari ?"

Di waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan yang enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka sendiri dengan kekayaan mereka. Di waktu yang sama, kau anugerahkan mereka dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang daif dalam kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air mata penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan.

Belum pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang telah engkau lakukan. Amanah rakyat telah engkau khianati. Apatah lagi jika semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan.

Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ?

Mulai saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al Basri adalah sahabat mu. Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan persahabatan ku dengan mu !!!

Sekian.

Hassan Al Basri

Tersentuh hati Menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan oleh Hassan Al Basri. Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis jawapan gurunya, surat tersebut pun diserahkan kepada Menteri untuk dikembalikan kepada Harun Al Rashid.

Hassan Al Basri : Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu.

Menteri itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu. Kata-kata Hassan Al Basri terus bermain di dalam hati dan fikirannya. Kini hatinya menjadi rungsing. Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar jualan. Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai yang mengikutinya. Lalu bekatalah Menteri tersebut kepada para pedagang di pasar itu.

Menteri : Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai ini ? Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana. Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah.

Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka.

Pedagang : Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ? Berapakah harganya ?

Menteri : Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan ku. Harganya amat
murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang kasar seperti yang dipakai oleh ahli sufi.

Maka urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di situ. Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun kembali ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri. Setibanya Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah dengan pakaiannya yang kasar dan murah. Harun Al Rashid tersentak kehairanan, melihat Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada Menteri.

Harun Al Rashid : Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ?

Menteri : Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al Basri, aku telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai Menteri. Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu kepada pakaian yang kasar dan murah ini. Anggaplah aku membawa surat jawapan Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir buat mu. Kerana selepas ini, aku akan mengikuti tuan ku yang baru, iaitu Tuan Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati Allah dan Rasul Nya.

Menteri itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun Al Rashid dan terus berlalu dari situ. Menteri itu telah pergi ke Madrasah Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.Harun Al Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus membuka dan membacanya. Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua di hari itu. Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang diberikan oleh Hassan Al Basri amat tegas. Jawapan Hassan Al BAsri telah menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis. Tangisan keinsafan.

Di beritakan, Sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan surat Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat. Sesudah selesai solat, Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan Al Basri dan terus menangis. Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dia menjadikan surat tersebut sebagai peringatan buat dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir dalam pentadbirannya. Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan salah seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.