Saturday, June 25, 2005

Syariat, Tarikat, Hakikat & Makrifat Part 1

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya: "Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya" ( Surah Al Baqarah :30)

Diciptakan manusia oleh Allah dimukabumi bukanlah hanya untuk bersenang-lenang mengecapi tipu daya dunia, tetapi Allah telah datangkan manusia ini di muka bumi sebagai khalifah NYA untuk mentadbir dunia ini agar mematuhi hukum-hakam dan peraturan yang telah Allah tetapkan. Allah sahaja yang layak menentukan peraturan bagi setiap ciptaan NYA. Ibarat sebuah televisyen jenama SONY, adalah mustahil manual pengguna dari jenama SAMSUNG digunapakai oleh pengguna untuk mengoperasikan peralatan tersebut. Begitu jugalah dunia dan alam ini, ianya ciptaan Allah, maka Allah sahajalah yang selayak menentukan peraturan yang wajib dipatuhi oleh makhluk ciptaan NYA. Peraturan selain dari apa yang Allah telah tetapkan adalah peraturan yang tidak mampu menyelesaikan permasalahan hidup manusia. Manusia kini kerana keegoan, mereka menilai sesuatu bukan menggunakan neraca hukum-hakam yang telah Allah sediakan, sebaliknya mereka menggunakan rasa naluri keseronokan nafsu ke atas duniawi sebagai kayu pengukur kebenaran dan kebatilan. Sebab itu tidak hairan di dunia kini, kita dapat saksikan dengan mata kepala kita sendiri, apabila hukum-hakam Allah diketepikan, dan peraturan ciptaan akal fikiran manusia yang lemah digunapakai, maka lahirlah kerosakan di lautan dan didaratan oleh hasil tangan manusia itu sendiri.Segala-galanya ialah kerana mereka tidak mahu menghukum dengan hukum-hakam yang telah Allah tetapkan. Hukum-hakam inilah diertikan dengan syariat.

Syariat ialah hukum hakam Allah atau peraturan-peraturan yang telah Allah tetapkan melalui firman NYA di dalam Al Quran dan disampaikan oleh Sunnah Rasulullah SAW.

Untuk lebih mudah difahami dan diamalkan oleh umat yang terkemudian, syariat yang menjadi peraturan atau hukum hakam Allah yang terkandung didalam Al Quran & Sunnah Rasulullah SAW , telah diterjemahkan oleh ulamak Imam mazhab yang empat dan diberi contoh dengan qias. Adapun hukum syariat itu terbahagi kepada lima. Setiap tindak tanduk, amal perbuatan dan percakapan dalam kehidupan sehari-harian kita tidak terlepas dari 5 hukum syariat ini. Kelima-lima hukum dalam syariat itu adalah seperti berikut :

1. Wajib = dibuat dapat pahala, ditinggalkan berdosa, kedudukannya MESTI buat
2. Sunat = dibuat dapat pahala, ditinggalkan tak mengapa . kedudukannya ELOK buat
3. Haram = dibuat berdosa, ditinggalkan dapat pahala, kedudukannya MESTI tinggal
4. Makruh = ditinggalkan dapat pahala, dibuat tak mengapa, kedudukannya ELOK tinggalkan
5. Harus = dibuat atau ditinggalkan dosa tak dapat, pahala pun tak dapat, kedudukannya terpulang pada diri sendiri tempoh 5 syarat ibadah , beroleh pahala. Lima syarat tersebut ialah :

a) Niat mesti betul
b) Perlaksanaan mesti selaras dengan syariat
c) Natijah mesti betul tidak bertentangan syariat
d) Perkara yang dibuat dan dilaksanakan dibenarkan oleh syariat
e) Tidak meninggalkan ibadah yang asas

Apabila Syariat menyuluh/ mengatur hal ehwal keyakinan dan keimanan, dinamakan Usuluddin / Tauhid. Apabila Syariat menyuluh hal ehwal lahiriah, peraturan yang zahir, dinamakan Feqah. Dan apabila Syariat menyuluh / mengatur hal ehwal hati , sifat-sifat hati, dinamakan Tasauf/Akhlak

Inilah yang disebutkan di dalam Hadis Rasulullah SAW berkenaan Iman, Islam dan Ihsan.

Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya : Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berrambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata : Sipemuda : Khabarkan aku tentang Islam ? Rasulullah : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana. Sipemuda : Benar katamu. ( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku sipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya ) Sipemuda : Khabarkanlah kepada ke tentang Iman ? Rasulullah : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya. Sipemuda : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ? Rasulullah : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau. Sipemuda : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?. Rasulullah : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya. Sipemuda : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ? Rasulullah : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi. ( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) : Rasulullah : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi ? Umar Al-Khattab : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui. Rasulullah : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu. ( Sahih Bukhari )

Maka sebagai khalifah Allah yang telah diamanahkan untuk melaksanakan hukum-hakam Allah dimukabumi, tanngungjawab ke arah perlaksanaan hukum syariat tersebut hendaklah dilaksanakan. Perlaksanaan hokum syariat dari perkara yang remeh temeh seperti qadha hajat hinggalah ke aspek kehidupan yang lain seperti membangunkan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan kenegaraan. Perlaksanaan hukum syariat ini adalah WAJIB bagi setiap muslim. Barangsiapa yang tidak menghukum dengan hukum-hakam atau peraturan yang telah Allah tetapkan, maka akan jatuh ke atas mereka salah satu dari tiga hukum iaitu FASIQ, ZALIM atau KAFIR wal iyazubillahi min zalik

Maka kesimpulannya, SYARIAT lah yang menjadi kayu ukuran dan piawai untuk menilai sejauh mana benar sesuatu amalan, sejauh mana kebenaran sesuatu keprcayaan, sejauhmana kebenaran sesuatu amal perbuatan, perkataan dan sebagainya. Inilah neraca yang perlu digunakan oleh umat Islam dalam menempuh kehidupan di dunia menuju ke negara akhirat yang kekal abadi. Syariat inilah yang menjadi titik tolak dalam kita mengatur setiap langkah-langkah menyelusuri perjalanan ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Jika Syariat diabaikan, walau pun kita mengaku pandai, kita mengaku hamba Allah, walau kita mengaku pejuang Islam, walau kita mengaku ahli tarikat, mengaku ahli hakikat dan ahli makrifat, mengaku waliyullah dan sebagainya, pengakuan kita hanyalah sia-sia. Tiada nilai disisi Allah SWT

1 Comments:

At 2:40 pm, Blogger feis said...

assalamualaikum
1-sahabat..apa pandangan sahabat jika seseorang mengamalkan bacaan selepas sembahyang fardu surah surah salawat untuk mencari makhrifatullah sehingga akibat dari amalannya itu hadirnya jin/khadam ayat memasuki jasadnya
2-apakah dikira dia telah mencapai makhrifah Allah dan memberitau bahawa dia marasai kemanisan zikir
3-adakah bismillah boleh ditambah ayat untuk dijadikan amalan ...cthnya seprti bismillah ......sebanyak 7 bismillah lalu dijadikan amalan minta sahabat rungkaikan masalah ini...terima kasih...

 

Post a Comment

<< Home